Pelbagai bidang tugas akan digalas oleh sukarelawan termasuk tugas am, sebagai pegawai perhubungan mahupun membantu majlis penyampaian pingat. Kredit Foto – Kamarul Akhir / www.asiana.my

TIDAK syak lagi, peranan dan pembabitan Sukarelawan KL 2017, lebih dikenali sebagai Sukarelawan Wau Factor, amat penting bagimemastikan kelancaran temasya pelbagai sukan utama seperti Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 pada Ogos dan September ini.

Pasukan ‘Wau Factor’ merupakan anggota tulang belakang dan barisan hadapan sebelum dan sepanjang temasya dan tindak tanduk mereka pasti menjadi cermin kepada imej penganjur dan negara.

Pelbagai siri latihan dan pendedahan telah dianjurkan oleh Unit Sukarelawan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL 2017 bagi memastikan tahap kesediaan sukarelawan menjelang dam ketika temasya berlangsung.

Kredit Foto – Kamarul Akhir / www.asiana.my

Mereka mungkin berbeza dari pelbagai segi seperti umur, latar belakang, bangsa, keturunan serta pendidikan. Tetapi semuanya menggalas satu tujuan – bangkit bersama dan komited menjadikan temasya KL2017 sebagai yang terbaik pernah dianjurkan.

Biarpun menerima permohonan begitu besar, hanya 13,000 sukarelawan terpilih untuk menjadi anggota sukarelawan Wau Factor dengan 9,000 terbabit dalam Sukan SEA manakala 4,000 dalam Sukan Para ASEAN 2017.

Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohammad Hafiz Ali begitu teruja sebagai anggota Wau Factor dan menanti bermulanya temasya yang akan bermula secara rasmi pada 19 Ogos ini dengan penuh debar.

Pada masa yang sama, beliau nyata sedikit gementar berdepan dengan apa juga kemungkinan sepanjang penganjuran temasya.

“Saya sangat teruja tetapi pada masa sama, sedikit gementar menanti bermulanya Sukan SEA ini.

“Bukan semua berpeluang menjadi sukarelawan. Ini peluang keemasandan saya berasa amat bertuah dan bangga terpilih untuk turut terbabit dan menyumbang tenaga sepanjang Sukan SEA nanti,” kata beliau ketika ditemui ketika menjalankan tugas di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia awal di Stadium Nasional Bukit Jalil awan minggu ini.

Lain pula bagi mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaya (UKM), Siti Aisyah Saad, yang nyata yakin dapat menjalankan tugas sebagai anggota Wau Factor dengan baik.

Katanya, sukarelawan terpilih menjalani latihan hampir setiap hari selama tujuh minggu dalam pelbagai bidang yang ditetapkan.
“Tugas telah diagih dijelaskan dan diagih, dan saya yakin dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna,” kata beliau.

Pelbagai bidang tugas akan digalas oleh sukarelawan termasuk tugas am, sebagai pegawai perhubungan mahupun membantu majlis penyampaian pingat.

- Advertisement -