Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tidak dapat menurunkan tiga pemain utama dalam aksi pembukaan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) menentang Johor di Manjung pada Sabtu ini.
Pasukan bimbingan Khalid Shahdan itu kehilangan khidmat dua pemain pertahanan Nabil Hakim Bokhari dan Muhd Azhar Apandi yang sedang menjalani latihan pusat bersama skuad bawah 19 tahun kebangsaan kendalian Bojan Hodak di Muscat, Oman sejak 1 September lalu.
Ia adalah satu daripada rangka persiapan untuk pasukan B-19 negara untuk menghadapi Kejuaraan AFC B-19 di Indonesia dari 18 Oktober hingga 4 November depan.
Manakala pemain tengah Talhah Rosli pula terlibat bersama pasukan Universiti Malaysia dalam Kejohanan Antara Universiti di Korea Selatan.
Kehilangan pemain tonggak pada saat yang begitu penting membuatkan pengurus pasukan, Syed Yazid Syed Omar meluahkan rasa kecewanya terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang disifatkan sebagai tidak peka terhadap pertembungan jadual.
“Kalau diikutkan memang kami tidak mahu melepaskan mereka. Ketiadaan mereka berdua memang sangat dirasai dan kita khuatir ia menjejaskan kekuatan pasukan serta misi kami memulakan kempen dengan kemenangan, tetapi mereka telah disenaraikan dan kami terpaksa akur.
“Bukan sahaja kami, tetapi pasukan lain juga memerlukan pemain utama mereka di dalam skuad. Ianya kejam untuk kehilangan pemain pada saat penting seperti ini. Saya berharap FAM ambil serius keluhan ini dan lebih teliti dalam menyusun jadual latihan agar ia berikan situasi win-win dan tidak ada pihak yang rugi apabila pemain dipanggil ke skuad kebangsaan,” kata Syed Yazid.
Sebagai rekod, Wilayah Persekutuan yang mempertaruhkan pasukan Piala Presiden merupakan finalis edisi lalu yang berlangsung di Sarawak.
Mereka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah tewas 0-2 kepada Perak dalam aksi final dan mensasarkan untuk pulang dengan emas kali ini.
Dengan skuad B-19 negara dijangka pulang ke tanah air pada 10 September, Syed Yazid mengharapkan khidmat Nabil dan Azhar dapat diguna pada aksi terakhir Kumpulan B menentang Terengganu pada 12 September. MUHD AIMAN