FLOORBALL PP

FLOORBALL KL

Oleh Muhammad Aiman

Kelebihan selaku tuan rumah mahu dimanfaatkan sebaiknya pasukan floorball Kuala Lumpur untuk muncul juara Kejohanan Floorball Kebangsaan Piala Merdeka yang berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula 31 Ogos – 4 September depan.

Presiden Persatuan Floorball Kuala Lumpur, Mohd Hafidz Zainal Abidin berkata sasaran itu tidak mustahil direalisasikan memandangkan persiapan untuk menghadapi kejohanan yang memasuki edisi kelima ini sudahpun bermula sejak setahun lalu. 

“Kita hantar dua pasukan bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita. Untuk lelaki, memang sasaran kita adalah KL ‘A’ akan muncul juara manakala KL ‘B’ yang merupakan pasukan pembangunan, sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

“Tahun lepas kita hantar pasukan pembangunan untuk ambil bahagian di Sabah, sebagai persiapan untuk muncul juara apabila menjadi tuan rumah tahun ini. Harap dengan persediaan tempoh masa panjang ini, ianya membuahkan hasil.

“Manakala untuk wanita, kita pernah jadi juara pada 2013 dan 2014 jadi kita berhasrat mahu rampas semula kejuaraan dari Pulau Pinang yang menang tahun lepas. Kita berharap dengan pengalaman pemain senior serta bakat-bakat muda yang sedang diketengahkan, dapat berikan tentangan sengit seterusnya muncul juara kali ini,” kata Hafidz.   

Kejohanan kali ini yang dianjurkan bersama oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyaksikan  pembabitan tujuh pasukan negeri dengan lapan pasukan dalam kategori lelaki dan enam pasukan bagi kategori wanita.

Sementara itu, aksi yang berlangsung pada Rabu menyaksikan Pulau Pinang dan KL ‘A’ menepati ramalan awal apabila membuka tirai aksi peringkat kumpulan dengan mencatat kemenangan bergaya.

Pulau Pinang menewaskan Johor 9-2 manakala KL ‘A’ menewaskan Negeri Sembilan 6-1 dalam aksi Kumpulan A namun langkahan mereka gagal dituruti pasukan KL ‘B’ yang kecundang 2-7 kepada Perak dalam aksi Kumpulan B.

Bagi kategori wanita pula, Pulau Pinang yang diperkuatkan lima pemain Sukan Sea Singapura dan membariskan rata-ratanya skuad bawah 23 tahun melaungkan amaran awal apabila beraksi garang untuk membelasah KL ‘A’ 9-0 manakala aksi antara Sabah dan Johor berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

“Secara jujur saya tidak jangka akan dapat skor 9 gol, tapi ia bagus untuk keyakinan pemain. Tahun ini kita datang dengan ekspetasi tinggi kerana kita adalah juara bertahan bagi dua-dua kategori, jadi memang tekanan itu ada untuk pertahankan kejuaraan.  

“Dan sebenarnya tahun ni berbeza dengan tahun lepas, kerana kita hantar dua-dua pasukan B-23, satu bertujuan cabar kejuaraan dan satu untuk pembangunan. Harapan kita sekali lagi dapat masuk ke final dan menangi kejuaraan,” ujar jurulatih Pulau Pinang, Chiam Ter Min.

- Advertisement -