Kuala Lumpur meneruskan penguasaan di kedudukan teratas 100PLUS Liga Premier setelah mencatat kemenangan kelapan berturut-turut, kali ini berpesta gol mencatat kemenangan 6-3 ke atas Kuantan FA di Stadium Darulmakmur, pada Jumaat.
Skuad bimbingan Fabio Joaquim Da Silva itu mendahului pada minit ke-17 menerusi sentuhan Mohd Hafiz Johar namun Ljubo Baranin meledak jaringan penyamaan 10 minit kemudian untuk kedudukan terikat 1-1 di separuh masa pertama.
Skuad helang kota tampil garang di babak kedua apabila menambah lima jaringan menerusi Paolo Josue (m-53, 80) dan hatrik Guilherme De Paula (m-69, 78 dan 84) sebelum tuan rumah menjaringkan dua gol di lewat permainan menerusi Baranin (m-86) dan Abdul Malik Mat Ariff (m-89).
Kemenangan itu menyaksikan Kuala Lumpur mengumpul 35 mata, berkelebihan satu mata ke atas pasukan tangga kedua, Terengganu yang turut merakam kemenangan besar 4-0 ke atas Perlis di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Gol buat sang penyu dijaringkan oleh Gabriel Davis (m-27), Tchetche Hermann (m-43), Lazaro Vinicius (m-49) dan pemain gantian Mohd Ridzuan Abdunloh (m-80). Kekalahan kesepuluh buat Perlis menyaksikan mereka berada di kedudukan dua tercorot dengan sembilan mata.
Negeri Sembilan pula tergelincir ke tangga ketiga dengan 33 mata setelah sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan tangga tercorot, MISC-MIFA di Stadium Proton, Tanjung Malim.
Di Stadium Ipoh, tuan rumah PKNP FC mengalami kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Takzim II meskipun mendahului di separuh masa pertama menerusi jaringan Ahmad Sukri Hamid pada minit ke-44.
JDT II bimbingan Benjamin Mora bangkit di separuh masa kedua menerusi jaringan Samuel Catalino (m-63) dan Jeronimo Barrales (m-78). Kemenangan membolehkan JDT II mengukuhkan kedudukan di kelompok lima teratas dengan 27 mata manakala PKNP tergelincir ke tangga keempat dengan 31 mata.
Perlawanan lain menyaksikan PDRM dan ATM mencatat keputusan seri 1-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka. ATM mendahului pada minit keenam menerusi Rafizol Roslan manakala gol penyamaan PDRM dijaringkan Safwan Baharudin pada minit ke-24.
Jaringan tunggal Rodol Jub Paunovic pada minit ke-69 pula membantu Sabah menundukkan tuan rumah, Uitm FC di Shah Alam. – OLEH MUHAMMAD AIMAN