Kuala Lumpur Thunder menjadikan persaingan memburu kedudukan tiga teratas Sepaktakraw League (STL) Premier bertambah dramatik apabila melonjak tiga anak tangga untuk berada di kedudukan kedua setelah mengejutkan pendahulu Penang Black Panthers pada Khamis.
Sebelum perlawanan, perjuangan pasukan bimbingan Azhar Sarabini itu lebih tertumpu kepada misi untuk terus kekal dalam STL Premier dan turun menentang Penang Black Panthers yang sudahpun sah bergelar juara, tidak banyak harapan diletakkan ke atas mereka untuk mencipta kejutan.
Apatah lagi, Black Panthers bimbingan Helmi Ismail berada dalam prestasi terbaik tidak tewas dalam enam perlawanan terakhir sejak tewas kepada Terengganu Turtles di pusingan pertama.
Begitupun, trio Aizat Nor Azmi-Amirul Zazwan Amir-Norhafizi Razak tampil cemerlang membenam gandingan Black Panthers dengan keputusan 2-0 (21-17, 25-24) dalam aksi menghiburkan di Dewan MPSJ sekaligus memastikan finalis musim lalu itu bukan sahaja terselamat dari tersingkir ke Divisyen Satu, tetapi kembali dalam landasan merebut tempat beraksi di STL Champions Cup.
Kemenangan ketujuh buat KL Thunder itu menyaksikan mereka menolak Perak Bison ke tangga ketiga menerusi beza set menang, namun yang menariknya kedudukan tiga teratas dijangka bertukar pemilik sekali lagi pada Sabtu setelah berakhir aksi antara Perak Bison menentang Terengganu Turtles dan Kelantan Warriors menentang Johor Tigris.
Dengan KL Thunder, Perak Bison, Kelantan Warriors dan Terengganu Turtles kesemuanya sedang bersaing sengit dan masih mempunyai peluang seimbang, aksi terakhir pada Ahad ini yang mana Perak Bison berdepan KL Thunder serta Kelantan Warriors menentang Terengganu Turtles dalam pertembungan sesama sendiri bakal menjadi penentu penuh dramatik bagi saingan musim ini.
Sementara itu, peluang Selangor Pistons untuk terus kekal beraksi dalam STL Premier musim depan ibarat ‘telur di hujung tanduk’ setelah kecundang 0-2 (9-21, 19-21) kepada ATM Guardians.OLEH MUHD AIMAN