Saingan Sepaktakraw League (STL) Premier 2017 menutup tirai penuh dramatik pada Ahad dengan Kuala Lumpur Thunder dan Perak Bison melengkapkan kedudukan tiga teratas.
Dengan Penang Black Panthers sudahpun mengesahkan kejuaraan lebih awal pada minggu lalu, saingan hari terakhir tertumpu kepada persaingan sengit antara KL Thunder, Perak Bison dan Kelantan Warriors untuk berada dalam kelompok tiga terbaik yang menawarkan tiket beraksi di STL Champions Cup. Â
KL Thunder menamatkan saingan di tempat kedua dengan 16 mata setelah membenam Perak Bison 2-0 (21-15, 22-20), sekaligus memaksa Perak Bison (juga mengumpul 16 mata) untuk menanti kesudahan perlawanan terakhir antara Kelantan Warriors dan Terengganu Turtles bagi mengetahui nasib mereka.
Perlawanan antara dua jiran pantai timur itu berlangsung cukup sengit, hampir 120 minit dengan aksi bertenaga dari kedua-dua pasukan menyaksikan Terengganu Turtles menerusi gandingan Zulkifli Razak-Azwan Muhrim-Hanafiah Dollah menang set pertama 22-20.
Kelantan yang mengumpul 14 mata, wajib memenangi aksi ini untuk menyambar kedudukan tiga teratas kembali dalam persaingan setelah trio Aidil Aiman Azwawi-Hisyam Mat-Naim Izani Mohd Noor memenangi set kedua 21-19.
Terengganu Turtles bagaimanapun membuat Kelantan Warriors berputih mata apabila menamatkan aksi cukup mendebarkan itu dengan kemenangan 23-21 di set ketiga. Kemenangan menyaksikan Terengganu Turtles mengakhiri saingan di tempat kelima manakala Kelantan Warriors pula berpuas hati di tempat keempat.
âKita tahu kena menang perlawanan ini dan turun dengan keyakinan tinggi, pemain sudah buat sehabis baik, tapi tiada rezeki kita, tidak bernasib baik. Kesilapan kita sikit sahaja pada set ketiga, di mana Naim nampak kepenatan jadi libasan dia tidak stabil, tiada tenaga.
âApapun kita bersyukur kerana dapat berada di empat terbaik dan menepati sasaran awal yang ditetapkan,â kata jurulatih Kelantan Warriors, Baharil Anuar.
Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail pula berkata, âIni adalah satu bonus bagi kita, kerana sasaran awal seperti saya katakan mahu kekal dalam STL Premier. Kita sebenarnya sasar menang dengan KL Thunder tetapi pemain kepenatan selepas perlawanan menentang Terengganu semalam.
âSaya tidak suka ihsan dari pasukan lain, saya mahu pasukan saya usaha sendiri, tetapi apapun terima kasih kepada Terengganu Turtles, ia satu perlawanan yang menarik dan mendebarkan seperti final.â
Dalam pada itu, Penang Black Panthers yang mendakap trofi STL Premier buat kali kedua berturut-turut pulang dengan hadiah wang tunai RM50,000. Malam pesta mereka diceriakan lagi apabila Syahir Rosdi dinobatkan sebagai tekong terbaik dan juga Pemain Paling Bernilai STL Premier, manakala jurulatih mereka Sufian Napiah dinobatkan jurulatih terbaik.
KL Thunder selaku pemenang tempat kedua membawa pulang RM30,000, Perak Bison pula memenangi RM20,000 dan Kelantan Warriors pulang dengan RM10,000.
Apit kanan terbaik dimenangi oleh Ahmad Fadzil Mustafa dari Perak Bison sementara apit kiri terbaik menjadi milik pemain Kelantan Warriors, Aidil Aiman Azwawi.
STL Champions Cup akan bermula pada 24 November depan membabitkan lapan pasukan iaitu Penang Black Panthers, KL Thunder, Perak Bison, Melaka Titans (juara Divisyen Satu STL) serta empat pasukan antarabangsa iaitu Thailand, Indonesia, Singapura dan India. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
Senarai penuh pemenang :
Juara : Penang Black Panthers (RM50,000)
Naib juara : KL Thunder (RM30,000)
Tempat Ke-3 : Perak Bison (RM20,000)
Tempat Ke-4 : Kelantan Warriors (RM10,000)
Pemain Paling Bernilai : Syahir Rosdi (Penang Black Panthers)
Tekong Terbaik : Syahir Rosdi (Penang Black Panthers)
Apit Kanan Terbaik : Ahmad Fadzil Mustafa (Perak Bison)
Apit Kiri Terbaik : Aidil Aiman Azwawi (Kelantan Warriors)
Jurulatih Terbaik : Sufian Napiah (Penang Black Panthers)