JAWATANKUASA Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017 akan memastikan urusan perjalanan dan pengangkutan peminat dan orang ramai sepanjang berlangsungnya temasya Kuala Lumpur berjalan lancar dan tidak terjejas. Untuk itu, MASOC menjalin kerjasama dengan GRAB yang akan berperanan membantu orang ramai untuk ke venue pertandingan termasuk di Langkawi dan Terengganu, menjadikannya sebagai alternatif kepada pengangkutan sedia ada.
Grab pada Selasa (23 Mei) menyertai keluarga KL2017 sebagai penaja Emas yang menjadikannya sebagai “Rakan Perkhidmatan e-Hailing (Official Ride Hailing-Partner)” Kuala Lumpur 2017. Penajaan Grab membabitkan jumlah RM6 juta yang merangkumi tajaan wang tunai, barangan dan perkhidmatan.
Perjanjian ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Dato’ Seri Zolkples Embong manakala Grab diwakili Ketua Negara Grab Malaysia, Encik Sean Goh.
Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Grab, Encik Anthony Tan, yang hadir menyaksikan menandatangani perjanjian itu, sebelum hadir ke majlis dengan berkongsi menaiki kenderaan Grab. Turut hadir, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo, NAib Presdien Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) John Ng, Ketua Pegawai Operasi MASOC En Shaiful Subhan, Naib Presiden Perundangan dan Hal Ehwal Awam Grab Malaysia, Encik Zafrul S Hashim dan Ketua Bahagian Pemasaran, Cik Iris Chang.
YB Brig Jen Khairy berkata kehadiran GRAB dalam keluarga besar Kuala Lumpur 2017 amat penting kerana selain kehadiran lebih 7,000 atlet dan pegawai dari luar negara, lebih sejuta penonton akan bergerak dari venue ke venue.
“Amat penting bagi atlet, tetamu dan orang ramai merasai pengalaman menggunakan sistem pengangkutan yang selamat dan efisien,” kata beliau.
Sepanjang penganjuran temasya, Grab juga komited membantu golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk turut merasakan kemeriahan KL2017 dengan menyediakan perkhidmatan Buggy Grab di setiap venue pertandingan.
Ketua Negara Grab, Sean Goh berkata, syarikat itu akan turut membantu mempromosikan KL 2017 terutamanya di kawasan lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang serta Terminal Skypark di Subang.
“Kami juga menyediakan aplikasi Virtual “KL 2017 Point of Interest” yang memaparkan kawasan menarik untuk dilawati,” ujar beliau sambil menambah kata meskipun baru lima tahun ditubuhkan, aplikasi Grab menjadi antara aplikasi wajib pada telefon pintar.
Mengenai jumlah kenderaan, ia masih di peringkat perbincangan. Sean bagaimanapun memberi jaminan jumlah kenderaan sepanjang temasya adalah mencukupi.