SEMBOYAN perjuangan negara ke Sukan SEA 2017 bermula secara rasmi dengan penyerahan bendera Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kontinjen Malaysia dalam suasana penuh bersemangat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Disaksikan Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Najib menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Sukan SEA negara, Datuk Marina Chin.
Datuk Marina kemudiannya menyerahkan Jalur Gemilang kepada tiga juara dunia iaitu Mohd Al Jufferi Jumari (silat), Azizulhasni Awang (berbasikal trek?) dan Cheong Jun Hoong (terjun) yang dipilih menjadi pembawa bendera pada upacara pembukaan di Stadium Nasional, 19 Ogos nanti.
Dalam ucapannya yang penuh bersemangat, Perdana Menteri berkata kontinjen negara mempunyai segala kualiti diperlukan untuk menyerlah dan berharap mereka akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan sebagai hadiah kemerdekaan negara ke-60.
“Berbekal semangat Harimau dan doa seluruh rakyat, saya yakin para atlet akan Bangkit Bersama mengangkat martabat sukan negara ke tahap cemerlang.
Tunjukkan belang anda! Ini laman kita, initanahair kita, ini peluang kita untuk mendominasi Sukan SEA sekali lagi. Jadikanlah ia hadiah buat negara sempena ulangtahun kemerdekaan ke-60 negara,’ kata YAB Dato’ Sri Najib.
Pada majlis yang sama, Dato’ Sri Najib turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen Paralimpik negara yang diketuai Ketua Kontinjen Dato’ R. Subramaniam.
Ikrar perjuangan bergema dengan atlet lempar cakera, Mohd Irfan Samsudin mengetuai hampir 700 atlet melaungkan ikrar memburu kejuaraan dengan penuh bersemangat.
Turut hadir, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Dato’ M.Saravanan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Kontinjen negara ke Sukan SEA 2017 terdiri daripada 874 atlet dan 390 pegawai dengan penyertaan dalam 38 jenis sukan, penyertaan terbesar Malaysia dalam sejarah temasya.
Ini kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya terbesar rantau Asia Tenggara ini selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.
Kali terakhir Malaysia muncul juara keseluruhan ialah pada 2001 di Kuala Lumpur dengan memenangi 111 emas.