DUA bulan selepas dibuka secara rasmi, Velodrom Nasional di Nilai, velodrom tertutup pertama di Malaysia, berada dalam keadaan baik dan sedia menjadi gelanggang pertarungan pelumba trek bagi merebut 13 emas yang dipertandingkan pada acara berbasikal trek Sukan SEA ke-29, bulan depan.
Tinggal 32 hari sebelum bermulanya Sukan SEA KL2017 secara rasmi, velodrom baru bernilai RM80 juta itu bakal menampilkan pelumba trek dari tujuh negara ASEAN yang mengesahkan akan bersaing dari 27 hingga 29 Ogos ini.
Selain acara trek, acara BMX juga akan pertandingkan di trek khas di luar velodrom berkenaan pada 26 Ogos.
Pengurus venue Mohd Yuszairie Zainalalam, ketika ditemui menyatakan rasa puas hati dengan keadaan trek dan velodrom Kelas 1 yang mendapat perakuan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.
“Velodrom Nasional merupakan velodrom tertutup pertama negara yang dibina dengan teknologi dengan permukaan trek yang terkini. Jadi, berkemungkinan besar kita akan menganjurkan kejohanan-kejohanan besar termasuk Kejohanan Dunia pada masa depan.
“Sejak dua bulan lepas, pelumba negara telah menguji trek velodrom dalam latihan harian mereka. Saya percaya, velodrom dan trek ini sudah siap sedia sepenuhya untuk Sukan SEA 2017,” kata Yuszairie.
Pada minggu lalu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan penganjur mengadakan acara latihan pra-sukan SEA di Velodrom Nasional bagi menguji tahap kesiapsiagaan venue berkenaan, termasuk ujian ke atas sistem maklumat, keputusan dan penganjuran keseluruhan.
“Saya menerima banyak maklumbalas positif mengenai keadaan velodrom dan trek, termasuk persekitaran serta permukaan trek kayu memuaskan,” kata Yuszaire.
Dengan kapasiti sehingga 2,000 penonton, Velodrom Nasional pasti menjadi antara venue tumpuan peminat pada Sukan SEA nanti. Yang pasti, kelibat pelumba berkelas dunia terutama dari negara tuan rumah Malaysia seperti Azizulhasni Awang, bakal mencuri perhatian ramai.
“Velodrom dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan fasiliti moden termasuk bilik media serta ruang kondusif bagi memudahkan pihak media melakukan liputan dan tugasan.
Mengenai sistem maklumat dan keputusan, Yuszairie berkata aspek itu belum sempurna sepenuhnya…ianya masih terus diperbaiki dan sebarang kelemahan akan diatasi sebelum bermulanya acara pada 26 Ogos nanti. Ada perbezaan antara sistem catatan masa yang digunakan dalam trek tertutup dan trek terbuka. Jadi kami sedang memperbaiki apa juga kekurangan,” kata beliau.
Pihak pengurusan juga akan mempertingkatkan aspek keselamatan di venue berkenaan untuk berdepan dan mengelak apa juga kemungkinan sepanjang berlangsungnya acara itu nanti.