Sikap berdiam diri Pesuruhjaya Sukan, Dato’ Zaiton Othman selepas mengarahkan penangguhan Kongres Tahunan Ke-31 persatuan itu yang sepatutnya berlangsung pada 18 November lalu, membuatkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) semakin ‘sakit hati’.
Zaiton sebelum ini telah mengarahkan kongres itu ditangguhkan berikutan kemelut dalaman membabitkan ahli gabungan serta pertikaian yang timbul mengenai proses pencalonan bagi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KLFA bagi penggal 2018-2022.
Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa berkata, “Alasan diberi untuk menyokong penangguhan itu adalah nak jalankan siasatan, nak panggil berjumpa dalam tempoh terdekat, tapi sekarang ni sudah dua minggu kami terima surat (15 November) tetapi sampai ke hari ini dia (Zaiton) senyap.
“Mana boleh macam ini, sesudah ditangguhkan kongres sepatutnya diadakan semula dalam tempoh sebulan, sekarang dua minggu sudah berlalu, situasi sekarang ini ibarat digantung tidak bertali.
“Apabila sudah dapat tarikh, kami perlu masa untuk memaklumkan kepada ahli gabungan, mencari dan menempah tempat, ia tidak boleh selesai dalam sehari dua. Katanya nak membantu selesaikan masalah, tetapi tindakan seperti ini tidak langsung membantu.”
Nokman turut meluahkan rasa terkilan kerana menurutnya sikap sambil lewa Zaiton menyebabkan banyak masa terbuang dan merencatkan persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.
“Sebolehnya biarlah selesai selewatnya minggu depan, banyak perkara kami nak kena fokus, ketua jurulatih pun belum dilantik kerana kami menunggu kongres ini berakhir. Pelantikan kena dapat persetujuan pucuk pimpinan tetapi kalau begini situasinya, kami perlu lantik jurulatih baru dalam tempoh terdekat dan berharap tiada masalah timbul di kemudian hari,” kata Nokman lagi.
Sebagai rekod, kemelut berhubung kongres ini tercetus apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Presiden KLFA mendesak Pesuruhjaya Sukan menangguhkan kongres itu berikutan wujud banyak unsur meragukan terutamanya apabila dia sendiri gagal mendapat jumlah pencalonan mencukupi untuk mencabar penyandang jawatan presiden Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.
Rashid hanya menerima 12 pencalonan berbanding 16 pada awalnya dan ia adalah berdasarkan Salinan boring pencalonan semua ahli gabungan yang menyokongnya.
Malah Rashid juga mahu membawa kes itu kepada Jawatankuasa Integriti FAM selepas mendakwa memiliki bukti kukuh mengenai berlakunya unsur paksaan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KLFA.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Nokman menegaskan ianya tidak berasas dan dilakukan mengikut prosedur sepatutnya mengikut peraturan yang termaktub dalam Artikel 34 Perlembagaan KLFA. – OLEH MUHAMMAD AIMAN