Oleh Muhammad Aiman
Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) sekali lagi mengecewakan Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk merangkul Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut.
Ia adalah tahun ketiga KLHC mempertahankan Piala Sumbangsih dengan menewaskan THT setelah melakukannya pada 2015 dan 2016 sekaligus turut membalas dendam kekalahan 2-7 kepada skuad bimbingan Sarjit Singh itu dalam aksi separuh akhirPiala Tan Sri Alagendra minggu lalu.
Begitu pun, kemenangan KLHC tidak hadir dengan mudah, mereka dikerah bekerja keras sebelum menundukkan THT di Stadium Hoki Batu Buruk menerusi penentuan penalti 6-5 selepas terikat 2-2 tamat masa sebenar.
Babak awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan KLHC bimbingan Harun Al Rashid Samri merebut pendahuluan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Muhammad Noor Faeez Ibrahim minit ke-31.
Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila penyerang sensasi Faizal Saari menyamakan kedudukan untuk THT pada minit ke-34 hasil jaringan padang.
Penyerang import, Umar Bhutta kembali meletakkan KLHC di depan 2-1 pada minit ke-51 namun kedudukan kembali terikat setelah Jang Jonghyun menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata – perlawanan ini juga perlawanan pertama Liga Hoki Malaysia 2017.
Sementara itu di Stadium Hoki Pantai, TNB bermula garang selepas menewaskan ‘adik’ mereka TNB Thunderbolts 6-1.
Skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan padang Muhammad Ramadan Rosli minit kelapan dan menambah empat jaringan dalam tempoh empat minit di suku ketiga perlawanan.
Gol dijaringkan Norsyafiq Sumantri pada minit ke-36, Azril Misron (m-37 dan 38) serta Muhammad Aminudin Mohd Zin (m-39) sebelum Shahril Saabah melengkapkan kemenangan TNB dengan gol keenam pada minit terakhir perlawanan.
“Bagi saya perlawanan pertama sememangnya agak bergelut. Ada beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh pemain. Mungkin juga mereka memandang rendah pihak lawan. Apa pun saya tetap gembira dengan keputusan ini dan kami sudah bersedia untuk turun perlawanan kedua bertemu UniKL Ahad ini,” kata Amin.
Dua lagi perlawanan menyaksikan Maybank menewaskan UiTM KPT 3-2 sementara UniKL bimbingan Arul Selvaraj membelasah SSTMI 5-0 menerusi hatrik jaringan Lachlan Gerard Stock dan dua gol Ikhwan Firdaus.