Oleh Muhammad Aiman
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak mahu atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa menjadi satu-satunya atlet olahraga yang akan membawa cabaran di Sukan Olimpik Rio De Janeiro.
Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata kejayaan Nauraj patut dijadikan contoh oleh atlet olahraga lain untuk bekerja keras merebut tempat secara merit di temasya terulung dunia yang akan berlangsung pada Ogos itu.
“Saya harap bukan dia seorang, kita turut meletakkan harapan pada beberapa atlet lain. Perlu diingat dengan layaknya Nauraj secara merit, tiada lagi tiket wildcard bagi kategori lelaki. Jadi ini satu cabaran untuk atlet kita, lihat Nauraj sebagai contoh, dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan akhirnya mencipta sejarah.
“Lee Hup Wei ada peluang tapi dia sekarang konsisten dengan lompatan 2.22m, kalau dia boleh naik 0.7m dia pun akan layak. (Khairul) Hakimi juga ada peluang cerah jadi saya harap mereka akan menyusuli jejak langkah Nauraj.
“Bagi kategori wanita, tiket wildcard masih terbuka dan kita akan berbincang dengan semua jurulatih, juga MSN sebelum buat keputusan siapa yang akan pergi jika tiada yang layak secara merit,” ujar Karim.
Berita mengenai Nauraj menjadi bualan dan menghiasi dada akhbar sepanjang minggu ini setelah atlet kelahiran Johor itu muncul atlet ke-13 untuk layak ke Sukan Olimpik, menerusi lompatan 2.29m yang dibuatnya di Kejohanan Terbuka Singapura sekaligus menjadi atlet lompat tinggi pertama negara untuk layak secara merit beraksi di Sukan Olimpik.
Lebih manis, lompatan itu turut menjadikan Nauraj sebagai pemegang rekod kebangsaan yang baru, memadam rekod 2.27m berusia 8 tahun dipegang Lee Hup Wei.
Atlet berusia 24 tahun itu kini meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke pusingan akhir di Rio justeru mahu memanfaatkan tempoh beberapa bulan yang berbaki ini untuk memperbaiki lagi lompatannya.