Dua penembak senior negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Siti Muslifah Zulkifli mendakwa tuduhan bahawa prestasi mereka merosot dan atlet yang tidak berdisiplin sebagai komplot menjatuhkan mereka kerana lantang bersuara mengenai kepincangan pengurusan Program Podium.
Kedua-dua atlet itu digugurkan dari Program Podium pada Februari lalu bersama-sama dua lagi penembak elit Nur Suryani Taibi dan Ezuan Nasir Khan.
Manakala pada Rabu lalu, Sports247 melaporkan bahawa nama mereka tidak berada dalam skuad 23 penembak yang akan beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berikutan prestasi merosot dan masalah disiplin sepertimana didedahkan Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM).
Justeru menganggap tuduhan itu mencemarkan imej dan kredibiliti mereka, kedua-duanya menuntut permohonan maaf secara terbuka dari pihak berkaitan atau bersedia mengambil tindakan undang-undang.
“Memang kami sudah menduga keputusan ini, banyak kerenah yang telah kami hadap sejak tahun lalu tetapi tuduhan ini terlalu berat. Dari segi apa kami tidak berdisiplin, saya cabar mereka jika benar kami salah sepertimana mereka katakan, kemukakan bukti.
“Kemukakan laporan prestasi kami dan bukti kami tidak berdisiplin. Jika tidak kami akan bawa ia ke muka pengadilan, kami sudah lama bersabar, cukup-cukuplah kami ditindas selama ni. Sepatutnya apabila ada Program Podium yang dikatakan professional, pengurusan juga perlu begitu tetapi kami dilayan seperti sampah dan tidak ubah seperti sukan sekolah,” kata Nur Ayuni.
Tambah Muslifah pula, “Difahamkan kami perlu menyertai tiga kejohanan untuk layak ke Sukan SEA. Kami berdua berjaya meraih pingat emas dalam kejohanan pertama. Bagaimanapun kami tidak diberikan peluru dan senjata untuk latihan bagi menghadapi kejohanan seterusnya sebaliknya hanya diminta mengambil barangan itu sehari sebelum pertandingan di MSN (Majlis Sukan Negara).
“Keadaan itu menyebabkan kami tidak mengambil bahagian kerana tempoh masa singkat, macam mana kami nak perform kalau tanpa persediaan dan kami juga tidak mengambil bahagian di kejohanan ketiga selepas disingkirkan dari Program Podium.
“Pengurusan menjadi kucar kacir, tiada usaha diambil untuk menyelesaikan perkara ini dan mereka tuduh kami pula tidak berdisiplin. Ingat kami tiada maruah?.”
Muslifah, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Incheon 2014 turut mendedahkan bahawa selama ini mereka telah mengikhtiarkan pelbagai cara untuk mendapatkan penjelasan tentang situasi mereka, namun semuanya menemui jalan buntu.
“Kami sudah cuba berbincang secara dalaman, namun tidak diendahkan. Kami juga menghantar e-mel kepada pihak atasan Program Podium dan berharap dapat dipertemukan dengan Menteri Belia dan Sukan (YB Khairy Jamaluddin) tetapi tidak mendapat maklum balas.
“Setelah semua tiada hasil kami bertemu pula dengan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, namun turut gagal mencapai kata putus sebaliknya kami digelar sebagai kurang ajar dan tidak mengenang budi,” katanya.
Untuk rekod, ketika di Sukan SEA Singapura 2015, gandingan Nur Ayuni dan Siti Muslifah bersama-sama Nur Suryani berjaya menyumbangkan tiga pingat perak menerusi acara 50m riffle prone berpasukan, 50m riffle 3 posisi berpasukan dan 10m riffle udara berpasukan.
Malah Nur Ayuni turut menyumbangkan pingat emas menerusi acara 50m riffle 3 posisi serta pingat gangsa menerusi acara 10m rifle udara.
Berikutan pengguguran nama Nur Ayuni dan Siti Muslifah dari skuad Sukan SEA, tempat mereka akan digantikan oleh seorang lagi penembak senior, Shahera Rahim Raja dan penembak berusia 17 tahun, Nur Izazi Rosli. – OLEH MUHAMMAD AIMAN