Pencapaian cemerlang dilakar kontijen negara yang muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang menutup tirai 30 Ogos lalu, meniup semangat kontijen paralimpik negara yang akan membawa cabaran di Sukan Para ASEAN dari 17-23 September depan.
Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), John Ng Keng Chuan berkata barisan atlet paralimpik negara berada dalam motivasi tinggi dan sudah bersedia mempamer prestasi terbaik bagi mencapai misi muncul juara keseluruhan buat kali kedua selepas melakukannya 2001.
“Kita telah membuat persiapan rapi selama dua tahun selepas berakhirnya Singapura 2015 di bawah program Kita Juara. Pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan Majlis Sukan Negara, dan sudah tiba masa atlet membuktikan segala program dan kerja keras selama dua tahun itu tidak sia-sia. Ini adalah platform dan peluang buat mereka,” kata Keng Chuan.
Sebagai rekod, pada 2001 ketika Sukan Para ASEAN dianjurkan julung kali, Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 135 pingat emas, 79 perak dan 87 gangsa. Dua tahun lalu di Singapura, kontijen Paralimpik negara menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan pencapaian 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa.
Untuk edisi kali ini, Menteri Belia dan Sukan, Brig Jeneral Khairy Jamaluddin sebelum ini menetapkan sebanyak 103 pingat emas sebagai sasaran awal untuk merealisasikan hasrat muncul juara keseluruhan.
Bagi ketua kontijen, Laksamana Pertama Dato’ Subramaniam Raman, beliau yakin sasaran itu boleh dicapai dan mensasarkan empat sukan iaitu olahraga, renang, tenpin boling dan berbasikal sebagai berpotensi menjadi lubuk emas kotinjen negara di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.
“Empat sukan ini kekuatan kita, ia berpotensi menyumbang 75 peratus dari emas yang disasarkan kerana sukan ini mempunyai banyak acara. Baki 12 sukan lagi boleh melengkapkan baki 25 peratus.” kata Subramaniam.
12 sukan lain dipertandingkan di temasya Para ASEAN 2017 adalah memanah, badminton, boccia, chess, bolasepak 5 sebelah, bolasepak CP, goalball , powerlifting, ping pong, bola tampar duduk, bola keranjang kerusi roda dan tennis kerusi roda.
Pertandingan akan berlangsung membabitkan enam venue iaitu Bandar Sukan Bukit Jalil, MITEC, Putrajaya, Sunway Pyramid, Kompleks Tenis Jalan Duta dan Velodrom Nasional di Nilai.
Malaysia akan menghantar kontijen terbesar seramai 331 atlet dan 169 pegawai diikuti Thailand 291 atlet dan 143 pegawai manakala Indonesia pula 192 atlet dan 51 pegawai. – OLEH MUHAMMAD AIMAN