Berdasarkan maklumat terkini mengenai kondisi padang Stadium Hoki Nasional yang tidak memuaskan, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah membuat siasatan lanjut mengenai kerosakan padang tersebut.
Menerusi kenyataan media, PSM mendapati pemasangan yang telah dilakukan tidak sempurna, tambahan pula kurangnya pendedahan dan latihan kepada kakitangan PSM oleh pembekal dalam keperluan penyelenggaraan padang.
Malah, keadaan ini timbul susulan kurangnya komunikasi diantara kontraktor dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
PSM telah berhubung dengan pihak pembekal dan pihak pembekal tersebut telah bersetuju untuk menggantikan padang secara percuma kerana padang tersebut masih dalam tempoh jaminan dari pembekal. Kedua-dua padang tersebut akan diserahkan semula kepada syarikat pembekal pada 11 Februari 2019 untuk kerja-kerja penggantian dan dijangka siap pada 31 Mac 2019.
Di samping itu, PSM akan mengambil langkah yang terbaik untuk memastikan semasa proses penyerahan semula, kakitangan PSM akan diberikan pendedahan dan latihan sewajarnya berkaitan penyelenggaraan padang tersebut supaya bertepatan dengan piawaian syarikat pengeluar.
PSM juga telah mewujudkan jalinan komunikasi yang lebih baik dengan pengguna yang menggunakan kemudahan PSM. PSM telah mengadakan sesi dialog dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan KHM.
Berlanjutan daripada kerja-kerja pengubahsuaian itu, pihak pembekal akan berhubung terus dengan KHM dan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk mendapatkan semula Persijilan Antarabangsa yang telah diterima sebelum ini.
Timbalan Presiden KHM, Encik George Koshy yang mewakili KHM berkata “saya menyambut baik dengan tindakan yang di ambil oleh PSM bagi menangani isu ini, penggantian padang ini adalah masa yang tepat bagi memastikan Pasukan Hoki Lelaki Malaysia yang akan bermain di dalam salah satu daripada tiga Siri Akhir (FIH) yang akan berlangsung pada 26 April hingga 4 Mei 2019 bagi mendapat tempat dalam Acara Kelayakan untuk Olimpik 2020 di Tokyo”.