Penyerang Sri Pahang FC, Kpah Sherman mengakui kelemahan di aspek serangan menyaksikan dia agak bergelut untuk menguasai bahagian depan secara individu ketika menentang Sabah FC dalam aksi Liga Super, Ahad lalu.
Ketiadaan Lucas Da Silva yang dihimpit kecederaan nyata merencatkan serangan Tok Gajah ini di mana Sherman diletakkan sebagai nadi utama pasukan untuk memberikan jaringan kepada pasukan.
Justeru, selepas empat perlawanan liga ketika ini, bekas penyerang Terengganu FC itu merasakan dia dan rakan sepasukan lain perlu lebih bekerja keras dalam membantu menambah ketajaman bahagian serangan dalam aksi akan datang.
“Kita tahu pasukan ada beberapa pemain yang masih cedera dan untuk terus fokus aksi akan datang, saya rasa kita memang memerlukan pemain untuk tolong di bahagian serangan.
“Ini kerana kalau hanya seorang sahaja penyerang, agak sukar dan sudah tentu kita mengharapkan pemain-pemain lain yang cedera akan kembali pulih selepas ini.
“Tetapi pastinya saya gembira dengan satu gol yang diperoleh untuk kita seri dengan Sabah dan saya hadiahkan jaringan ini untuk isteri dan juga anak saya yang baru lahir.
“Apa yang pasti, kita akan berusaha dengan lebih keras selepas ini untuk memastikan Pahang mampu kekal tanpa tewas”, jelasnya.
Dalam masa sama, pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Stuart Wilkin mengakui aksi tempoh hari antara yang sukar apabila Sabah meraih keputusan seri 1-1.
Namun, dia menganggap satu mata yang diperoleh lebih baik daripada tewas selepas berdepan perlawanan yang sengit dan kini fokus untuk aksi menentang Penang pada Jumaat ini.
“Saya rasa memang perlawanan yang cukup sukar tambahan pula dengan suasana penyokong tuan rumah yang ramai dan Pahang sememangnya pasukan yang bagus.
“Tetapi pulang dengan satu mata apabila bermain di Kuantan sudah cukup baik dan kami tidak mahu terlalu mengeluh dengan keputusan yang diraih itu”, katanya.
Selepas empat perlawanan liga ketika ini menyaksikan Sabah menduduki tangga kedua Liga Super dengan 10 mata manakala Sri Pahang kini di kedudukan kelima dengan enam mata.