Pasukan kriket wanita Malaysia menamatkan cabaran di Siri Quadrangular Wanita T20 (Pra-Sukan SEA) yang berakhir pada Sabtu (29 Julai) di Kinrara Oval dengan menduduki tempat ketiga dari empat pasukan yang bertanding.
Skuad negara mencatat hanya satu kemenangan iaitu ke atas Tanzania dan tewas lima perlawanan lain termasuk kedua-dua perlawanan menentang seteru Asia Tenggara, Thailand yang dijangka mengekalkan skuad sama untuk beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Pasukan Sri Lanka Army menepati ramalan muncul juara dengan mengumpul 11 mata hasil lima kemenangan dan satu seri, Thailand pula berkesudahan di tempat kedua manakala Tanzania di kedudukan terakhir.
Ketua jurulatih, Thushara Kodikara menyifatkan pencapaian ini sebagai kurang memberansangkan dan berjanji memanfaatkan tempoh masa kira-kira tiga minggu yang berbaki untuk membentuk skuad mantap yang dapat mencapai sasaran memenangi emas di KL2017.
“Kita telah lalui satu kejohanan yang agak buruk, ini bukan persiapan yang ideal untuk hadapi Sukan SEA. Ini adalah kejohanan terakhir sebelum kita bermain di Sukan SEA, kita telah menguji pasukan dengan harungi enam perlawanan dan ia membantu saya kenalpasti kekuatan dan kelemahan.
“Kita tewas kepada Thailand, mereka juga ranking lebih baik dari kita di Asia Tenggara tetapi saya lihat sebenarnya tidak banyak beza dengan mereka.
“Sudah banyak perubahan dalam tempoh setahun yang lalu, pemain mendapat lebih banyak pendedahan jadi di Sukan SEA saya melihat peluang adalah seimbang, keyakinan saya tetap tinggi kita dapat capai sasaran memenangi emas,” katanya yang dijangka mengumumkan senarai akhir 15 pemain untuk membawa cabaran di KL2017 dalam tempoh terdekat.
Ketua pasukan, Winnie Anne Duraisingam turut berkongsi nada sama dan melaungkan betapa dia dan rakan sepasukan lain akan memberikan prestasi yang jauh lebih baik di KL2017 bagi memburu pingat emas di temasya dwitahunan itu.
Untuk rekod, kriket akan pertama kali dipertandingkan di pentas Sukan SEA dengan Persatuan Kriket Malaysia meletakkan sasaran memenangi tiga emas menerusi acara T20 dan 50 Overs lelaki serta T20 wanita.
Kriket wanita di Sukan SEA akan membabitkan persaingan lima pasukan iaitu Malaysia, Indonesia, Myanmar, Singapura dan Thailand yang akan berlangsung di Kinrara Oval dari 17-29 Ogos. – OLEH MUHAMMAD AIMAN