ong-kim-swee

Oleh Muhammad Aiman

Pengendali skuad kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee tidak peduli dengan keraguan orang ramai dan pandangan pesimistik terhadap kemampuan pasukannya untuk memberikan tentangan di Piala AFF Suzuki yang bermula minggu depan.

Ketiadaan tonggak utama, setidak-seimbangan kekuatan di setiap posisi, kem latihan pusat yang singkat, prestasi hambar serta keputusan positif ditunjukkan pencabar lain di Yangon nanti menyebabkan tidak ramai berani meletak harapan tinggi ke atas skuad Harimau Malaysia.

Malah ada yang berpendapat dengan situasi semasa ini, cabaran negara mungkin berakhir seawal peringkat kumpulan di kejohanan dwitahunan itu dengan Vietnam dan Myanmar dilihat sebagai pilihan untuk meneruskan kemaraan.

Perkembangan kurang meyakinkan ini juga dilihat hampir pasti akan menjejaskan kehadiran penyokong ke stadium untuk menyaksikan perlawanan persahabatan terakhir negara menentang pasukan di ranking ke-159 dunia, Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada Isnin meskipun kemasukan adalah percuma.

Justeru, menurut Kim Swee, “Penyokong yang hadir memberi sokongan adalah penyokong tulen, mereka akan sentiasa bersama pasukan walau apa keputusannya. Yang lain lebih tahu mengkritik tetapi saya tidak peduli dengan kritikan. Ia tidak sama sekali menganggu fokus dan tanggungjawab saya untuk persiapkan pasukan.

“Jika nak mengkritik, kritiklah saya selepas Piala AFF Suzuki, saya terima. Saya anggap setiap kritikan yang dilontarkan ini sebagai satu motivasi, saya percaya pemain-pemain juga mempunyai mentaliti sama. Tiada siapa di dalam pasukan mahu bermain untuk kalah, masing-masing mahu melakukan yang terbaik untuk negara.”

Dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki dari 20 – 26 November depan, Harimau Malaysia akan membuka tirai aksi kumpulan menentang Kemboja (20 November), sebelum berdepan Vietnam (23 November) dan tuan rumah Myanmar (26 November).

Malaysia muncul juara buat kali pertama pada 2010, tersekat di separuh akhir pada 2012, kemudiannya naib juara pada 2014 dan sasaran awal diletakkan Kim Swee untuk saingan kali ini adalah melangkah ke peringkat separuh akhir walaupun dia sendiri belum mempunyai gambaran mengenai kesebelasan utama yang bakal dibariskan.

- Advertisement -