Oleh Ku Mohd Lufti
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sudah punya pelan jangka panjang untuk mengubah sistem ke arah professional.
Sasaran bukan sahaja melibatkan pengurusan, tetapi meningkatkan tahap pemain daripada amatur dan semi-profesional.
Pengarah pertandingan KRM, Fahmy Jalil menjelaskan, sasaran utama ialah menyertai pusingan kelayakan Piala Dunia 2019 sebaik tamat Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Mei depan, di mana mereka mengharapkan kejayaan.
“Rancangan utama kami adalah mendapatkan status profesional yang membabitkan beberapa langkah termasuk menganjurkan sukan ini pada tahap tinggi, melahirkan lebih ramai pemain profesional daripada amatur, mendapatkan dana dan siaran sukan ini di media massa,” Fahmy.
KRM telahpun menjalin kerjasama dengan stesen TV swasta bagi siaran kejohanan secara langsung bagi memberi pendedahan lebih luas kepada peminat sukan tanah air khususnya.
Malah, KRM melihat kerjasama diantara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) sebagai contoh untuk menjadikan liga ragbi di Malaysia bertaraf professional.
“Ragbi masih mencari tempat di Malaysia dan kami harap dapat melakukannya dengan baik pada masa depan,” katanya.
Liga Perdana Ragbi yang menjadi salah satu tarikan utama akan berlangsung dari 4 Februari hingga 1 April, melibatkan empat bahagian itu Liga Perdana, Divisyen 1, Divisyen 2 serta Kejohanan Piala Timur dan ia akan diadakan di seluruh negara.