Oleh Muhammad Aiman
Dalam usaha memantapkan lagi pasukan dan memastikan misi layak ke Liga Super menjadi kenyataan, Kuala Lumpur bersedia merombak barisan pemainnya apabila jendela perpindahan kedua dibuka pada Jun depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Dato’ Seri Adnan Mohd Ikhsan berkata skuad helang kota telah menunjukkan prestasi yang cukup baik di bawah bimbingan Ismail Zakaria musim ini seterusnya menjanjikan satu musim yang penuh harapan.
Justeru Adnan melihat sedikit rombakan sama ada pada senarai pemain tempatan mahupun pemain import dapat membantu pasukan itu untuk terus memberi cabaran sengit dalam saingan 100 PLUS Liga Premier. Â
Meskipun Adnan belum mendedahkan siapa pemain yang bakal disingkir, adalah dipercayai dua pemain import Mario Karlovic dan penjaring terbanyak Anselmo Casagrande mendahului senarai untuk digugurkan KLFA.
Karlovic yang pernah menyarung jersi ATM dan Terengganu dilihat bergelut dengan prestasi dan tidak banyak membantu cabaran Kuala Lumpur manakala Casagrande, di sebalik mendahului carta penjaring pasukan itu dengan lapan gol, kerap dilanda masalah kecergasan dan kecederaan.
“Kita sedang menilai beberapa pemain import yang berada dalam pemerhatian KLFA, antaranya dari Jerman, Mali, Palestin, Amerika Syarikat dan Cameroon. Selain pemain yang tidak menunjukkan prestasi yang baik, kita juga akan gugurkan pemain yang kerap bergelut dengan masalah kecederaan bagi memberi peluang kepada pemain baru.
Perjalanan bagi musim ini masih lagi jauh, kita mempunyai baki 10 perlawanan (Liga Perdana) selain Piala Malaysia. Kita mempunyai harapan tinggi untuk layak ke Liga Super, dan kita juga mahu memberi cabaran serius dalam Piala Malaysia. Dahulunya kita adalah kuasa besar Piala Malaysia dan kita mahu kembalikan tradisi itu,” kata Adnan. Â
Untuk rekod, setelah berakhir 12 perlawanan, Kuala Lumpur menduduki tangga keempat 100 PLUS Liga Premier, terikat 25 mata bersama Negeri Sembilan serta Johor Darul Takzim II dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Melaka United.
Mereka juga hanya tewas sekali dalam saingan liga iaitu kepada Melaka dan mara sehingga ke peringkat suku akhir Piala FA sebelum tewas kepada Perak.
Bagi saingan Piala Malaysia pula, juara 1987, 1988 dan 1989 itu diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Selangor, juara 2012 Kelantan dan juara 2014, Pahang. Â