Kuala Lumpur dan Terengganu membuka jurang tiga mata di kedudukan teratas 100 PLUS Liga Premier setelah mencatat kemenangan penting dalam aksi ke-19 yang berlangsung Jumaat.
Skuad warga kota menang tipis 1-0 ke atas pasukan tangga keempat, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang sebelum ini mengekori rapat dengan beza satu mata di Stadium Selayang. Zhafri Yahya menjaringkan gol tunggal KL sepuluh minit sebelum tamat perlawanan.
Manakala Terengganu menewaskan Kuantan FA 3-0 di Stadium Darulmakmur menerusi dua jaringan Tcheche Kipre pada minit ke-35 dan 48 serta satu sumbangan Adib Aizuddin pada minit ke-57.
Tiga mata yang diraih menyaksikan Kuala Lumpur dan Terengganu berkongsi 41 mata namun skuad bimbingan Fabio Joaquim menerajui liga menerusi perbezaan jaringan.
Negeri Sembilan kekal di tangga ketiga dengan 38 mata setelah sekadar mampu seri 2-2 menentang PDRM manakala kekalahan PKNP menyaksikan mereka kekal di tempat keempat dengan 37 mata.
Empat pasukan itu masih berada dalam landasan memburu kejuaraan Liga Premier dan juga slot beraksi di Liga Super musim depan.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan mendahului dua kali menerusi jaringan Bruno Suzuki (m-29) dan Sean Eugene (m-45) namun dua gol jaringan Shahurain Abu Samah pada minit ke-39 dan 63 membolehkan PDRM bangkit mencuri satu mata.
Pasukan tangga kelima, Johor Darul Takzim II pula bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pasukan tangga tercorot MISC MIFA 2-1 hasil dua jaringan penalti Jeronimo Barrales pada minit ke-68 dan 74.
Uitm FC mengukuhkan cengkaman di kedudukan keenam setelah menewaskan Perlis 3-1 di tempat lawan manakala Sabah meneruskan peningkatan di bawah kendalian Jelius Ating dengan melakar kemenangan ketujuh menewaskan ATM 2-0.
Gol buat sang badak dijaringkan oleh Radoljub Paunovic pada minit akhir separuh masa pertama dan Heo Jaen Yeong pada minit ke-82. – OLEH MUHAMMAD AIMAN