JARINGAN tunggal Nur Syaza Afiqah Safawi pada suku ketiga sudah cukup untuk menjulang KUALA LUMPUR meraih kejuaraan dengan membenam juara bertahan PAHANG 1-0 pada perlawanan akhir TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) Edisi ke-6 di Stadium Hoki Nasional malam ini.
Ketika permainan berbaki tujuh minit dan tampak seakan berakhir dengan kedudukan seri tanpa jaringan, Nur Syaza memanfaatkan peluang dan meledak di depan gol Pahang untuk memastikan kemenangan buat skuad bandaraya itu.
Kejuaraan itu merupakan yang kedua buat Kuala Lumpur selepas kali pertama meraih kejayaan pada 2018 dengan menumpaskan Selangor. Kuala Lumpur juga layak ke final pada 2019 tetapi diketepikan Selangor.
Biarpun turun dengan reputasi tinggi sebagai juara tiga kali selain memegang rekod empat kali layak ke final sejak edisi pertama pada 2016, Pahang nyata gagal menyaingi kemampuan Kuala Lumpur yang berjaya menyerap tekanan skuad Pantai Timur itu.
Dua suku pertama menyaksikan permainan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menembusi benteng lawan masing-masing tetapi gagal melakukan penyudahan.
Permainan selepas separuh masa menyaksikan Kuala Lumpur lebih banyak melakukan serangan ke dalam kawasan D Pahang, yang akhirnya membuahkan hasil apabila Nur Syaza berjaya menolak masuk hantaran bola untuk membolosi gawang Pahang.
Jurulatih Kuala Lumpur A. Kannagi nyata berpuas hati dengan prestasi anak buahnya biarpun terpaksa menunggu hingga akhir suku keempat sebelum menghasilkan gol kemenangan.
“Sebenarnya kekuatan kedua-dua pasukan nyata seimbang. Benteng pertahanan Pahang memang sukar ditembusi jadi apa saja peluang di depan gol perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” kata Kannagi.
Jurulatih Mohamad Sabri Mohamad berpuas hati dengan pencapaian pasukan yang rata-rata dibarisi pemain skuad SUKMA Pahang. “Mungkin ini kali pertama kebanyakan pemain bermain di pentas final, jadi tak cukup pengalaman. Tetapi secara keseluruhan pemain menunjukkan kemampuan tinggi dan saya puas hati kerana kita lepasi sasaran setakat separuh akhir sebelum ini,” kata beliau.
Kemenangan itu meletakkan Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor masing-masing berkongsi kejuaraan sebanyak dua kali sejak kejohanan pertama pada 2016.
SENARAI PENGHARGAAN TNB PIALA TUN ABDUL RAZAK 2021 (WANITA) EDISI KE-6
JUARA: Kuala Lumpur
NAIB JUARA: Pahang
KETIGA: Pulau Pinang
FAIRPLAY: Sabah
PENJARING TERBANYAK: Nuramirah Shakirah Zulkifli (Kedah) 7 gol
PEMAIN TERBAIK FINAL: Nur Zafirah Aziz (Kuala Lumpur)