Perak menoktahkan penantian 18 tahun untuk menjulang Piala Malaysia selepas bangkit bergaya menewaskan Terengganu menerusi penentuan penalti dalam aksi final.
Tetapi perkara yang turut menjadi perbualan hangat ramai peminat bolasepak tempatan adalah kualiti pengadilan yang disifatkan antara yang terburuk dalam sejarah final.
Pengadil, Suresh Jayaraman dilihat gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan menjadi punca mengapa perlawanan tersebut berlangsung dalam keadaan tegang dengan membuat beberapa keputusan meragukan.
Keputusan-keputusan kontroversi dan bertaraf âkampungâ pengadil itu turut membuatkan Pengerusi Malaysia Football League, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mengkritik secara terbuka prestasi ditunjukkannya.
âSaya tidak pernah melihat dia (Suresh) sebelum ini dan terkejut kenapa dia dipilih untuk perlawanan ini. Inilah sebabnya mengapa MFL mahu membawa pengadil dari luar negara untuk mengendalikan perlawanan penting tetapi ia tidak dipersetujui Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Subkhiddin Salleh.
âSubkhiddin menyatakan ia seolah memperkecilkan kredibiliti pengadil tempatan, itu bukan sebabnya. Ini adalah kerana kita perlukan bantuan, anda boleh membaca artikel MFL mengenainya sebelum ini,â titah Tunku Mahkota Johor itu di twitternya.
Sementara itu, bekas jurulatih UITM Perlis, Manja Man berkata Suresh sememangnya tidak layak dipilih untuk mengadili perlawanan besar dan mengimbau semula bagaimana pengadil itu menjadi punca tercetusnya insiden pergaduhan dalam aksi final Piala Kementerian Pengajian Tinggi antara UITM Perlis dan UITM Shah Alam pada 2015.
âBila melihat nama dia sebagai pengadil, perkara pertama terlintas dalam fikiran saya adalah perlawanan ini pasti akan dicemari pergaduhan. Malah beberapa rakan serta pemain yang pernah bersama saya dalam pasukan UITM Perlis turut menghubungi saya untuk bercakap mengenai perkara itu.
âKetika aksi final Piala KPT 2015, dia gagal mengawal perlawanan menyebabkan berlaku pergaduhan sehingga tiga kad merah dilayangkan, dua kepada pemain saya dan satu kepada pemain Shah Alam. Perlawanan juga terhenti lebih 10 minit di masa tambahan dan ianya tidak akan berlaku jika dia lebih bijak.
âPada saya, mutu pengadilannya memang teruk, jadi saya hairan bagaimana dia boleh dipilih pula mengadili perlawanan besar seperti final Piala Malaysia,â kata Manja.
Pendapat sama turut dikongsi jurulatih berpengalaman luas, Azraai Khor Abdullah yang menganggap Suresh merencatkan kelancaran perlawanan.
âBerdasarkan kriteria apa dia dipilih? Jika itulah standardnya, dia memang tidak layak! Beberapa keputusannya terlalu meragukan terutama pembatalan jaringan Leandro. Dia juga sama sekali gagal mengawal perlawanan.
âBila dia perlu keluarkan kad, dia menyimpannya dan membiarkan kekasaran berlalu tapi bila tidak perlu, dia melayangkan kad. Terlalu banyak untuk dihuraikan satu persatu kesilapannya sepanjang perlawanan itu.
Rumusannya, ini adalah mutu pengadilan paling teruk pernah saya saksikan dalam final Piala Malaysia.
âSaya tidak dapat bayangkan jika Perak kalah semalam, ia boleh membawa pelbagai insiden buruk di dalam stadium. Jika itu berlaku, pengadil perlu bertanggungjawab,â kata Azraai.
Dalam aksi final di Stadium Shah Alam itu, selain pembatalan jaringan Leandro di separuh masa pertama, antara keputusan Suresh yang dikecam hebat adalah apabila dia tetap meneruskan perlawanan meskipun beberapa kekasaran berlaku dan ianya menyebabkan aksi menjadi semakin tegang.
Dia juga melayangkan kad merah kepada Gilmar Silva yang memukul curi Igor Zonjic sedangkan pemain sepatutnya dihukum adalah Zonjic dan Firdaus Saiyadi yang merupakan punca sebenar insiden setelah terlibat dalam pertelingkahan beberapa saat sebelum itu sehingga Firdaus dilihat menunjukkan jari tengah kepada Zonjic.
Kemudiannya Lee Tuck pula dilayangkan kad merah (kad kuning kedua) untuk perebutan bola 50-50 sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan aksi dengan 10 pemain. MUHD AIMANÂ