Pasukan bergelut, Marcerra Kuantan FA bakal kehilangan lebih kurang 10 lagi pemain bulan April ini berikutan kegagalan menyelesaikan masalah kewangan kritikal dihadapi mereka.
Maklumat yang diterima dari sumber terdekat Sports247 memberitahu lima pemain tempatan pasukan itu telah bersetuju menyertai pasukan Liga FAM manakala beberapa lagi pemain memilih untuk tidak meneruskan karier setelah Kuantan FA tidak sedikitpun menunjukkan usaha untuk menyelesaikan masalah dihadapi apatah lagi kesemua pemain dan pegawai sudah tidak bergaji lebih tiga bulan.
Antara pemain yang akan ‘angkat kaki’ adalah dua bekas penggempur Terengganu, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahya yang jelas sudah tidak dapat lagi bersabar dengan kerenah pengurusan yang memekakkan telinga dan buat tidak tahu rungutan serta keluhan para pemain.
Pasukan itu yang diambil alih Marcerra bagi musim 2018 sudah sedia kehilangan Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree Ishak dan Helmi Ramlee yang menyertai DAR Wanderers kira-kira dua minggu lalu.
Lebih teruk, bukan sahaja skuad Liga Premier, malah pemain pasukan Liga FAM Marcerra, Liga Kuala Lumpur dan Liga Futsal Kebangsaan juga dilapor tidak mendapat elaun/gaji mereka sehingga kini.
Dilaporkan kebanyakan pemain bersikap optimis dan sabar sebelum ini kerana tanggapan bahawa pengurusan sedang cuba mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menjernihkan keadaan. Situasi yang semakin kritikal menyaksikan ada di antara pemain terpaksa meminjam duit daripada rakan, malah jurulatih Ismail Zakaria juga dilaporkan menjadi ‘sumber kewangan’ kepada anggota pasukan.
Dengan begitu ramai pemain meninggalkan pasukan, Kuantan FA dikatakan akan membuat keputusan bubar pasukan dan tarik diri dari Liga Malaysia namun sebarang keputusan mengenai status mereka mungkin diketahui pada bulan April.
Sepatutnya apabila tahu tiada duit, dari awal lagi Marcerra tidak perlu terhegeh-hegeh menubuhkan pasukan dan bermain dengan periuk nasi pegawai serta pemain – bukan satu, bukan dua, tetapi empat pasukan termasuk futsal.
Persoalan yang timbul, andai kata mereka buat keputusan ‘tutup kedai’ pada April ini (sepatutnya memang itu yang perlu dibuat), maka apa terjadi kepada gaji tertunggak selama tiga bulan selain gaji tertunggak pemain-pemain tahun lepas yang masih belum dijelaskan sehingga kini?
Siapakah yang akan memperjuangkan hak pemain serta pegawai, adakah Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLL) yang sebelum ini tidak bertindak tegas menyekat pasukan itu daripada bermain sebaliknya memberi muka dengan alasan pasukan itu perlu diberi peluang kedua untuk membuat perubahan?
FMLLP atau kini dikenali Malaysia Football League (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya Kevin Ramalingam pada bulan lalu menjelaskan menyekat Kuantan FA daripada bermain tidak akan membantu menyelesaikan masalah, dan itu sebabnya mereka terus dibenarkan bertanding walaupun dipertikai ramai pihak malah ada yang melabel mereka kebal undang-undang.
Kini, masalah sudah semakin melarat. Apa solusi yang akan diambil oleh MFL? Memotong mata, mendenda, membuat sekatan perpindahan atau menyingkirkan pasukan itu ke divisyen paling rendah – apa sahaja hukuman sebenarnya tidak lagi membawa apa-apa beza kepada pengurusan tertinggi Kuantan FA yang jelas tidak lagi berminat untuk meneruskan perjuangan mereka.
Apa yang terjadi telah terjadi, mahu tidak mahu, untuk menebus ‘kesilapan’ yang telah MFL lakukan mereka perlu membantu pemain serta pegawai Kuantan FA, setidak-tidaknya untuk mendapatkan semula hak mereka.
Itu sudah tentunya akan menjadi jasa MFL yang paling tidak akan dilupakan oleh mereka yang teraniaya dalam isu ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN