Pasukan futsal elit dari Pahang, Kuantan Rangers FC mencipta sejarah apabila muncul sebagai kelab Malaysia pertama menjuarai liga futsal di luar negara dengan memenangi Liga Futsal Brunei (LFB) 2017 yang melabuhkan tirainya pada Ahad.
Pasukan kendalian bekas pemain kebangsaan, Faizul Ab Ghaffar itu mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan terakhir menentang pasukan tangga kedua Arbisyam FC namun mereka sudahpun mengesahkan kejuaraan lebih awal hasil kemenangan 8-0 ke atas Eagle Blues pada Sabtu.
Tengku Arif Temenggong Pahang, YAM Tengku Fahad Muadzam Shah yang juga Presiden kelab berbangga dengan pencapaian ini dan menyifatkan ia satu permulaan buat kelab itu memburu kejayaan lebih cemerlang seterusnya mengangkat martabat futsal tanah air ke satu aras lebih tinggi.
“Memang Brunei bukan sasaran sebenar kita, tetapi ini adalah asas. Ini menunjukkan ke mana telah kelab ini sampai dalam tempoh 10 bulan ditubuhkan dan lapan bulan selepas kami gagal layak ke Liga Futsal Kebangsaan (LFK).
“Matlamat kelab ini adalah pembangunan futsal, pembangunan bakat. Rata-rata pemain kita adalah pemain muda dan LFB adalah satu pendedahan yang cukup bagus bagi mereka.
“Kita tidak boleh berpuas hati dan yang penting adalah terus bertambah baik. Perjalanan masih jauh bagi kelab kecil ini, kami mahu beraksi di LFK dan menjuarai LFK dalam tempoh 2-3 tahun akan datang seterusnya menjadi kelab futsal yang berjaya di arena futsal tempatan,” kata Tengku Fahad.
Kuantan Rangers yang turut diperkuatkan dengan kehadiran salah seorang pemain futsal terkemuka dunia, Rico Zulkarnain muncul juara LFB dengan mengumpul 23 mata hasil tujuh kemenangan dan dua keputusan seri, tiga mata mengatasi Arbisyam FC.
Mereka menamatkan saingan liga 10 pasukan itu tanpa tewas dan lebih manis, Norkhairi Abdul Rahman turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak LFB dengan 12 gol.