Setelah membuka tirai saingan Liga Futsal Brunei (LFB) dengan langkah positif, kelab futsal elit dari Pahang, Kuantan Rangers FC meletak sasaran mahu mencetus impak besar dalam liga membabitkan 10 pasukan itu.
Pasukan bimbingan bekas pemain kebangsaan, Faizul Ab Ghaffar itu menyepak mula saingan LFB 2017 lebih lewat berbanding pasukan lain, iaitu hanya pada bulan Mei namun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri dari tiga perlawanan pertama yang diharungi.
Mereka bermula dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Rizfiz FT, diikuti keputusan seri dramatik 5-5 menentang MS ABDB sebelum mencatat kemenangan 4-2 ke atas satu lagi pasukan dari Malaysia, Miri FA.
Permulaan meyakinkan itu sudah cukup menghadirkan ceria buat Presiden kelab itu, Tengku Arif Temenggong Pahang, YAM Tengku Fahad Muadzam Shah yang berpendapat pasukan itu semakin menunjukkan peningkatan dan kematangan dalam permainan.
“Kita tidak mahu jadikan LFB ini sekadar medan pendedahan atau menimba pengalaman semata-mata, kita sudah mulakan perjuangan ini jadi saya mahu lihat kita terus pandang ke depan dan tidak mustahil kita boleh mencabar kejuaraan, mencetus impak lebih besar jika dapat teruskan prestasi baik.
“Saya percaya kita sedang berada di landasan yang baik untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan. Kita mahu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan futsal dan kita akan sentiasa belajar untuk menambahbaik apa yang kurang,” katanya.
Ketika ini, Kuantan Rangers berada di kedudukan keenam dengan mengumpul tujuh mata tatkala RBSM FC unggul di kedudukan teratas dengan 17 mata hasil lima kemenangan dan dua seri diikuti Kota Junior dan Shah United masing-masing dengan 10 mata.
Aksi Kuantan Rangers yang seterusnya adalah pada bulan ini di mana mereka akan mengharungi tiga lagi perlawanan iaitu menentang juara bertahan Kota Junior FC (28 Julai), Shah Utd (29 Julai) dan skuad Pembangunan B-20 Brunei (30 Julai). – OLEH MUHAMMAD AIMAN