Oleh Muhammad Aiman
Pendatang baru dalam arena futsal tanah air, Kuantan Rangers FC dari Pahang yakin dapat merebut satu daripada dua slot yang ditawarkan untuk beraksi di Liga Futsal Kebangsaan 2017.
Kuantan Rangers, bersama-sama sembilan pasukan lain akan berentap di pusingan kelayakan LFK 2017 selama tiga hari dari 21 – 23 Disember ini di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.
Majlis undian pusingan kelayakan yang berlangsung pada Selasa menyaksikan pasukan bimbingan bekas pemain kebangsaan, Mohamad Faizul Abdul Gaffar itu diundi bersama ATM dan tiga wakil dari utara iaitu Perlis, Pulau Pinang, dan Pulau Pinang MBPP di dalam Kumpulan B.
Manakala tiga wakil Kuala Lumpur iaitu KL Petaling Putra, KL City FC dan KL Imigresen FC bersama-sama dua pasukan dari Borneo, Sabah dan Sarawak melengkapkan saingan Kumpulan A.
Format awal menetapkan pasukan yang menjuarai peringkat kumpulan masing-masing akan secara automatiknya layak ke LFK 2017, namun perubahan saat akhir menyaksikan dua pasukan teratas setiap kumpulan perlu terlebih dahulu beraksi separuh akhir.
Dua finalis pusingan kelayakan kemudiannya akan menyambar tiket beraksi di LFK 2017, menyertai lapan pasukan yang sudah sedia layak iaitu Felda United FC, Terengganu T-Team, Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Selangor, Pahang dan Sabah.
Bagi Faizul, meskipun pasukannya baru dibentuk lebih kurang sebulan yang lalu, dia optimis Kuantan Rangers mempunyai ramuan yang diperlukan untuk mencipta impak dan mengungguli pusingan kelayakan.
“Kalau tengok pada undian, ia agak seimbang tetapi saya percaya kita ada kelebihan. Apapun kita tidak pandang rendah pada mana-mana lawan, masing-masing ada kekuatan tersendiri. Pulau Pinang dan MBPP contohnya, walaupun kita belum pernah tengok mereka main, tapi mereka juga ada pemain berpengalaman yang pernah main di LFK,” katanya.
Tambah jurulatih berusia 36 tahun itu, “Saya yakin dengan pemain-pemain saya, kita juga telah membawa masuk lima pemain senior untuk perkuatkan pasukan. Semua pemain komited dan cepat belajar, cepat serasi ketika latihan. Harapan memang agak tinggi, dan saya mahu semua pemain terjemahkan kualiti sebenar mereka untuk tepati harapan tersebut.”
Sebagai makluman, lebih 80 peratus pemain Kuantan Rangers FC adalah anak jati negeri itu, adunan pemain muda dan berpengalaman.