Oleh Muhammad Aiman
Kuartet 4x100m wanita sekali lagi menghadiahkan keceriaan buat kem negara apabila mengegar trek di Stadium Taoyuan City untuk membawa pulang satu-satunya pingat emas buat Malaysia dari Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan yang berakhir pada Jumaat.
Kuartet gandingan Siti Fatimah Mohamad, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nurul Faizah Asma Mazlan dan S.Komalam Shally melakukan catatan masa 45.53s untuk berkesudahan sebagai pemenang, mengecewakan kuartet tuan rumah Zheng Xiu Tang, Lin Xing Yi, Liu Ting Yu dan Hung Shih Han yang menamatkan perlumbaan kurang satu saat di belakang.
Ianya adalah pingat emas kedua dalam tempoh tiga minggu dari kuartet itu yang memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 45.32s untuk memenangi pingat emas di Kejohanan Terbuka Singapura bulan lalu.
“Sudah tentunya cukup menggembirakan untuk menang mengatasi negara kuasa besar olahraga seperti Taiwan dan Hong Kong. Cuma sedikit kecewa kerana gagal perbaiki rekod kebangsaan milik kami sendiri yang baru diperbaharui bulan lalu tetapi kami akan bekerja keras untuk melakukannya di kejohanan selepas ini,” ujar Zaidatul.
Selain emas dari acara 4x100m wanita, Malaysia turut menambah dua lagi pingat gangsa pada hari terakhir kejohanan menerusi Iskandar Alwi dan Jeng Tzan Yap.
Iskandar meraih gangsa menerusi acara lompat bergalah dengan lompatan setinggi 5.05m – catatan yang terlalu jauh dari rekod kebangsaan miliknya sendiri 5.20m – tewas kepada atlet Korea Selatan Jin Min Sub yang meraih emas manakala perak menjadi milik Obiena John Ernest.
Sementara Tzan Yap pula memenangi gangsa setelah melakukan lemparan sejauh 46.99m dalam acara lempar cakera wanita.
Hasrat Malaysia menambah pungutan pingat menerusi acara pecut 200m lelaki bagaimanapun tidak kesampaian apabila pelari G.Aravinn Thevar menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan masa 21.49s manakala dalam acara lontar peluru, Adi Alifuddin Hussin turut berpuas hati sekadar menduduki tempat keempat.
Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan cabaran di Kejohanan Olahraga Taiwan dengan sebutir emas, sebutir perak dan tujuh gangsa.
Pingat perak disumbangkan Shereen Samson Vallabouy menerusi acara 400m wanita manakala lima pingat gangsa disumbangkan oleh Jonathan Nyepa (100m lelaki), Siti Fatimah (100m wanita), Nurul Faizah (400m wanita), Azam MAsri (400m lelaki) dan Jackie Wong (baling tukul besi) pada hari pertama kejohanan.