Hajat besar kuartet 4×100 meter negara untuk sekurang-kurangnya memperbaiki rekod kebangsaan lebur apabila larian mereka dalam aksi final Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dibatalkan gara-gara kesilapan ketika pertukaran baton.
Insiden malang itu terjadi apabila pelari pertama Nixson Kennedy menyerahkan baton kepada pelari kedua Jonathan Nyepa di luar zon yang sepatutnya sekaligus menyaksikan penantian 16 tahun melihat kuartet 4x100m beraksi di final berakhir dengan kekecewaan.
Kali terakhir kuartet 4x100m Malaysia beraksi di final adalah pada edisi Busan 2002 menerusi gandingan Tan Kok Lim, Nazmizan Mohamad, Zaiful Zainal Abidin dan Azmi Ibrahim yang berkesudahan di tempat keempat dengan catatan masa 41.20s.
Sementara itu, jurulatih negara, M.Balamurugan berkata insiden yang berlaku itu sama sekali tidak diduga namun menyifatkan kesilapan seperti itu sememangnya biasa terjadi.
âTiada siapa mahu melakukan kesilapan seperti itu pada detik yang begitu genting, tetapi dalam acara berganti-ganti kesilapan seperti ini tidak boleh dielakkan.
âKita telah merancang dengan teliti, melihat kepada kelemahan dan kita yakin mereka boleh memperbaiki rekod kebangsaan. Mereka sedang berada dalam prestasi terbaik tetapi apakan daya, bukan rezeki kita malam ini.
Kami memohon maaf kerana telah mengecewakan harapan besar seluruh rakyat Malaysia,â kata Balamurugan.
Balamurugan bagaimanapun menafikan bahawa pertukaran rangkaian pelari di mana Nixson menggantikan
Haiqal Hanafi sebagai pelari pertama adalah antara faktor membawa kepada berlakunya kesilapan tersebut.
Ketika peringkat saringan, kuartet Haiqal, Jonathan, Zulfiqar dan Khairul Hafiz Jantan menduduki tempat keempat saringan kedua dengan catatan masa 39.57 saat dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik yang beraksi di final.
Sementara itu pingat emas acara berkenaan dimenangi oleh kuartet Jepun, perak menjadi milik tuan rumah Indonesia manakala gangsa pula milik China. – OLEHÂ MUHD AIMANÂ