karl.weigang

Oleh Muhammad Aiman

Ketua jurulatih baru Perak, Karl Heinz Weigang diberi kuasa penuh untuk menentukan pemain mana yang mahu dikekal dan disingkirkan apabila pintu perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka pada 20 Jun depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Nayan berkata PAFA menyandarkan sepenuhnya kepada pengalaman luas jurulatih dari Jerman itu untuk memilih pemain yang benar-benar boleh menyumbang kepada prestasi dan kejayaan pasukan, terutamanya membabitkan pemain import.

Abdul Puhat turut menjelaskan bahawa harapan tinggi diletakkan ke atas Weigang untuk menyemarakkan semula musim The Bos Gaurus yang agak suram, di mana pasukan itu ketika ini menduduki tangga kesepuluh Liga Super setelah hanya mengumpul 11 mata.

Weigang pada minggu lalu diumumkan sebagai ketua jurulatih dan pengarah teknikal Perak yang baru menggantikan Syamsul Saad, yang kini menjadi pembantunya.

Khidmat bersama Perak bukanlah sesuatu yang baru buat Weigang yang pernah membimbing pasukan itu muncul juara Piala Malaysia 1998 dan 2000, manakala pada 2014 dia hadir sebagai Pengarah Teknikal dan berjaya membantu sang seladang untuk terus kekal dalam saingan Liga Super pada 2014.  

Antara tugas pertama Weigang di Ipoh, sudah tentunya untuk memanfaatkan tempoh dua minggu yang berbaki sebelum jendela perpindahan dibuka untuk memantau dan meneliti prestasi setiap pemain sebelum membuat keputusan memperkasakan pasukan.

Antara pemain yang pastinya tidak senang duduk memikirkan masa depan, sudah tentunya Vokhid Sodiev yang tidak menunjukkan prestasi sepertimana diharap apabila sekadar menjaringkan satu gol sepanjang musim ini.

Pemain import lain yang menyarung jersi Perak musim ini adalah Erik Weeks Lewis, Thiago Junior, dan Elias Fernandes.

Kedudukan Thiago dan Elias mungkin tidak terancam memandangkan Thiago mengemudi benteng pertahanan Perak dengan berkesan malah menggalas tanggungjawab selaku ketua pasukan dengan baik sepanjang ketiadaan Nasir Basharudin yang cedera,.

Manakala Elias, walaupun teruk dikritik pada awal musim, berjaya menunjukkan peningkatan dan kini merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan enam gol.

- Advertisement -