Dua penyerang Pulau Pinang, S.Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew mahu menggunakan sebaiknya peluang menjalani latihan pusat bersama skuad B-23 tahun kebangsaan seterusnya beraksi beberapa perlawanan persahabatan pada bulan depan untuk memikat Dato’ Ong Kim Swee.
Di sebalik kurang menyerlah bersama pasukan tangga tercorot Liga Super itu dalam kempen domestik, Kumaahran dan Jafri tetap berada dalam senarai 26 pemain dinamakan Kim Swee untuk menjalani latihan pusat bermula 29 Mei hingga 23 Jun depan.
Dengan kesemua pasukan mempertaruhkan penyerang import serta ‘kuda tua’ sekaligus mengehadkan peluang penyerang muda, Kim Swee jelas tidak mempunyai banyak pilihan bagi mengemudi jentera serangan pasukannya tatkala tinggal kurang tiga bulan berlangsung Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Kumaahran dan Jafri adalah dua daripada lima penyerang akan diuji oleh Kim Swee selain bintang muda Kedah Syafiq Ahmad serta dua pemain meningkat naik Danial Asyraf Abdullah (Kelantan) dan N.Thanabalan (Felcra Fc).
Kumaahran yang mula mendapat perhatian Kim Swee selepas menjaringkan dua gol di Piala Emas Bangabandhu (Dhaka) 2015 adalah antara pemain regular dalam skuad Harimau Kumbang musim ini, dan dia dijangka akan memainkan peranan lebih besar dalam Sukan Sea edisi kali ini selepas sekadar menjadi simpanan di Singapura 2015.
“Jurulatih (Kim Swee) mengenali saya dengan baik kerana saya pernah bermain agak lama juga di bawah bimbingannya sebelum ini. Kami mengharungi kempen mengecewakan di Singapura tetapi bagi saya itu satu daripada proses pembelajaran.
“Saya tidak beroleh peluang untuk membuktikan sesuatu ketika itu tetapa saya percaya saya adalah pemain yang lebih matang hari ini kerana saya banyak meraih pengalaman beraksi bersama Pulau Pinang dalam Liga Super. Saya menjaringkan gol ketika menentang Felda pada April dan ia adalah satu suntikan buat saya setelah terlepas hampir separuh musim kerana kecederaan buku lali.
“Sukan Sea akan berlangsung di tempat kita sendiri jadi sudah tentunya kita semua mahu memenanginya semula kali ini, tetapi untuk merealisasikannya kita perlukan perancangan yang teliti. Saya percaya kita mempunyai sebuah skuad yang kuat dan boleh memberi saingan sengit kepada pasukan seperti Thailand dan Vietnam,” kata Kumaahran.
Manakala Jafri yang sudah lama tidak mendapat tempat di dalam kesebelasan utama Pulau Pinang pula berkata, “Ianya mengujakan untuk terus mendapat kepercayaan jurulatih jadi saya perlu bekerja keras dan membuktikan beliau tidak membuat pilihan yang silap.
“Faktor keserasian mungkin akan memainkan peranan penting kerana rata-rata pemain yang dipanggil menjalani latihan telahpun bersama sejak dua tahun lalu. Selain itu saya percaya Kim Swee ada perancangan dan taktikal sendiri yang berbeza dengan jurulatih sebelum ini (Frank Bernhardt) bagi merealisasikan impian emas.”
Selepas menjalani latihan selama 10 hari di Wisma FAM, skuad B-22 negara akan terbang ke China pada 7 Jun bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang skuad B-22 China, skuad simpanan Guangzhou R&F dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande.
Mereka akan dilepaskan pulang ke pasukan masing-masing pada 23 Jun sebelum dikumpulkan semula pada Julai bagi menghadapi Kejohanan AFC B-23 di Bangkok dari 19 -23 Julai di mana Malaysia berada dalam Kumpulan H bersama Thailand, Indonesia dan Mongolia.
Temasya Sukan Sea KL 2017 pula akan bermula 14 Ogos bagi acara bolasepak. – OLEH MUHAMMAD AIMAN