Kelantan boleh dikatakan antara pasukan memiliki rangkaian serangan import yang sememangnya gah pada nama. Mohamed Ghaddar, Ferdinand Sinaga dan Bruno Lopez namun ketiga-tiganya sehingga kini tampak kurang menyengat dan belum memberi justifikasi kepada reputasi hebat mereka.
Selepas menjaringkan gol pada minit pertama ketika menentang Melaka, Bruno ibarat sudah lupa di mana arah gawang lawan manakala Sinaga dan Ghaddar masing-masing masih buntu jaringan.
Rata-rata penyokong Kelantan sudah mula mendesak trio itu untuk lebih menyerlah dan bermain menepati status sebagai pemain import. Malah ramai yang meluahkan kecewa kerana prestasi Bruno dan Sinaga terutamanya sekadar indah khabar dari rupa, lebih kurang sahaja dengan pemain tempatan.
Malah, jika dibandingkan reputasi Bruno-Sinaga-Ghaddar adalah jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan gandingan lain Liga Super.
Kegagalan mereka menyudahkan peluang-peluang yang terhidang menyaksikan Kelantan terperosok di tangga ke-11 Liga Super dan berkemungkinan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala FA jika prestasi longlai sama ditunjukkan ketika menentang PKNS, Sabtu ini.
Bolehkah trio ini menyelamatkan diri mereka dari menjadi sasaran kritikan dengan prestasi yang jauh lebih baik? Atau mereka bakal menyajikan satu lagi prestasi hambar dan terus tenggelam dek ekspetasi dan tekanan tinggi? – OLEH MUHAMMAD AIMAN