Laluan berliku menanti jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei dalam usahanya merangkul gelaran sulung Kejuaraan Dunia BWF di Glasgow yang berlangsung dari 21-27 Ogos depan.Â
Walaupun dilihat tidak bermasalah melepasi dua pusingan awal apabila berdepan pemain bukan pilihan, ujian getir menanti pemain nombor dua dunia itu seawal pusingan ketiga apabila dijangka menentang pemain pilihan kesepuluh dari China, Tian Houwei.Â
Seandainya tiada kejutan disaksikan, juara bertahan Chen Long yang layak beraksi di Glasgow atas tiket wildcard pula menantinya di suku akhir diikuti Victor Axelsen dari Denmark (jika meneruskan kemaraan ke separuh akhir).Â
Kejuaraan dunia adalah satu daripada gelaran utama yang belum pernah digenggam Chong Wei meskipun pernah mara beraksi di perlawanan akhir sebanyak empat kali pada 2011, 2013, 2014 dan 2015.
Pada usia 34 tahun, edisi kali ini dianggap sebagai peluang terakhir buat Chong Wei untuk akhirnya bergelar juara dunia sebelum dia membuat keputusan menggantung raket.
Sementara itu, gandingan beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula akan membuka cabaran dengan menentang pemenang di antara Manu Attri-Reddy Sumeeth (India) dan Chung Eui Seok-Kim Duk Young (Korea) di pusingan kedua.Â
Cabaran sebenar pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu adalah di  peringkat suku akhir apabila dijangka berdepan beregu nombor satu dunia dari China, Li Junhui-Liu Yu Chen.Â
Gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga dilihat tiada masalah mengatasi halangan pusingan awal dan hanya akan berdepan cabaran sebenar di peringkat suku akhir apabila dijangka menentang pemenang emas Olimpik Rio dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir.
Wakil Malaysia yang lain, Zulfadli Zulkifli (perseorangan lelaki) dan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen (beregu lelaki) pula tidak diletakkan harapan tinggi kerana masing-masing akan berdepan pilihan utama di pusingan awal. – OLEH MUHAMMAD AIMAN