Menjulang empat trofi Liga Super berturut-turut dari 2013-2016 bersama dua pasukan berbeza – Lions XII  dan Johor Darul Takzim – sudah cukup menjadikan Hariss Harun pemain Singapura dan pemain import ASEAN paling berjaya dalam Liga Malaysia.

Dia turut berperanan penting sebagai enjin barisan tengah ketika membantu JDT menjulang Piala AFC 2015 dan kemudiannya menambah koleksi trofi dengan membantu Harimau Selatan menjulang Piala FA pertama kali pada 2016.

Maka tidak hairanlah kelibatnya begitu dirindui penyokong JDT selepas semusim ‘menghilangkan’ diri pulang beraksi di negara asal bersama Home United, biarpun cadangan sebenar adalah menghantarnya berguru di Sepanyol.

Tenang, kental dan diyakini, efektif ketika bertahan mahupun menyerang, ramai yang tidak sabar melihat gandingannya bersama Natxo Insa, Afiq Fazail, Safiq Rahim, Gary Steven Robbat, Syamer Kutty Abba ataupun Nazmi Faiz Mansor sekaligus menjanjikan permainan bolasepak pantas, agresif dan menghiburkan.

Begitupun, dari sudut pandang lain, itu jugalah yang menjadi persoalan ketika ini – dengan begitu ramai pemain tengah berkualiti tinggi dan itu belum lagi mengambil kira posisi pemain import baru yang akan dibawa masuk, adakah Hariss akan mendapat ruang secukupnya untuk membawa impak kepada JDT atau dia sekadar akan menjadi watak popular semata-mata dek prestasi lampau? 

Dengan JDT mempunyai banyak perlawanan untuk diharungi pada 2018 seandainya mereka berjaya layak beraksi di Liga Juara-Juara Asia, kehadiran Hariss adalah opsyen terbaik untuk memberikan lebih pilihan kepada Ulises Morais dan barisan kejurulatihan.

Begitupun, pengukur yang nyata sudah tentunya prestasi semasa, dia perlu memberi sepenuh justifikasi betapa prestasinya tidak sedikitpun menjunam, malah semakin bertambah baik, lebih baik dari musim sebelumnya serta mempunyai material untuk berada dalam kesebelasan utama.

JDT sudah membuktikan, tanpa kelibatnya mereka boleh menjulang Liga Super buat kali keempat berturut-turut dan Piala Malaysia buat pertama kali, justeru kehadiran Hariss perlulah membawa lebih gemilang kepada mereka sekaligus membantu mengukuhkan reputasi selaku gergasi bolasepak bukan sahaja dalam negara tetapi juga di peringkat lebih tinggi.

Seperti dinyatakan, ramai pemain boleh bermain di posisi Hariss justeru ia sudah tentunya mewujudkan persaingan sengit. Hariss, bersedialah untuk membuktikan kembalinya anda ke dalam skuad JDT bukan semata-mata sebagai pelengkap atau bersedialah untuk ‘ditendang’ keluar sepertimana pernah terjadi kepada Baihakki Khaizan.  OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -