laos.toyota.jdt

Oleh Muhammad Aiman

Skuad Johor Darul Takzim mungkin sudah berjaya menempa nama hingga ke peringkat Asia dengan kejayaan merangkul Piala AFC tahun lalu, namun hakikatnya pasukan itu belum benar-benar berjaya di arena bolasepak domestik.

Hanya trofi Liga Super dan Piala Sumbangsih tersergam indah dalam kabinet mereka, dan andai Harimau Selatan berhasrat menambah satu lagi koleksi trofi – Piala FA – mereka perlu terlebih dahulu melepasi badi pasukan dari utara, Kedah dalam aksi separuh akhir, malam esok.

Aksi separuh akhir kedua di Larkin akan menjadi pertemuan ketiga kedua-dua pasukan dalam tempoh dua minggu, dan sudah pastinya tiada motivasi tambahan yang lebih baik buat skuad bimbingan Mario Gomez yang masih tercari-cari formula terbaik untuk menewaskan pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu selepas dua kali hampa di Darul Aman.

Dan Kedah yang membawa bekalan tipis satu gol hasil kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama 16 April lalu, bersedia untuk terus menjadi badi buat finalis 2013 itu meskipun dijangka turun tanpa beberapa pemain tonggak utama termasuklah Liridon Krasniqi yang menjalani penggantungan.

“Kita juga akan kehilangan khidmat pemain muda Amirul Hisyam manakala ketua pasukan Khairul Helmi pula belum pasti dapat diturunkan, tapi kita ada pemain lain yang boleh galas tanggungjawab dengan baik seperti Abdul Halim Saari dan Amar Rohidan.

“Saya tidak perlu berikan mereka motivasi tambahan kerana pemain sendiri akan bermotivasi tinggi, dan sedar tanggungjawab serta tekanan yang digalas mereka. Mereka tahu tugas belum selesai, masih ada 90 minit yang cukup panjang dan kita perlu buat yang terbaik untuk mencatat kemenangan di gelanggang lawan,” jelas Cheng Hoe.

Tambah jurulatih yang membawa Kedah muncul naib juara Piala Malaysia 2015 itu, “JDT memang sebuah pasukan yang cukup sukar untuk ditewaskan di Larkin, tapi saya rasa tidak mustahil untuk kita lakukannya. Saya sasarkan sekurang-kurangnya keputusan seri, dan yang penting kita perlu menguasai bahagian tengah dan melakukan serangan.”

Kedah adalah pasukan kedua paling berjaya dalam sejarah 27 tahun saingan Piala FA, pernah muncul juara tiga kali pada 1996, 2007 dan 2008 serta naib juara sekali pada tahun 2010 dan sedang mencari tiket final kelima manakala JDT mencari tiket final kedua setelah mara ke final sekali pada tahun 2013.   

- Advertisement -