Oleh Ku Mohd Lufti
Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mengingatkan barisan pemain yang akan diturunkan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia malam ini menentang PDRM agar memberi tumpuan penuh di atas padang andai mahu melakar kemenangan.
Malah, Cheng Hoe mengharapkan barisan pertahanan khususnya ‘merantai’ pergerakan dua tonggak penyerang The Cops, Guilherme de Paula dan Muhammad Safuwan Baharudin (gambar utama).
Bagi Cheng Hoe, semangat juang yang tinggi menjadi faktor utama PDRM yang pastinya dahagakan slot final dan bersedia memanfaatkan kealpaan Kedah.
“Kita perlu mengawal setiap gerakan de Paula (Guilherme) dan Safuwan kerana mereka mampu mengancam benteng pertahanan dengan percubaan berbahaya,”kata Tan Cheng Hoe.
Seperti PDRM, Lang Merah juga bakal turun dengan motivasi yang tinggi dan pemain pemain bersedia 100 peratus.
Beliau berkata Shane Smeltz dan Thiago Agusto merupakan tonggak utama untuk menjaringkan gol, tetapi turut berharap pemain lain seperti Syazwan Zainon, Badrul Bakhtiar dan Liridon Krasniqi dapat turut memainkan peranan sama.
“Kita tidak berharap kepada Thiago dan Shane sepenuhnya tetapi jika ada peluang pemain lain juga perlu jaringkan gol. Kita mempunyai misi penting untuk peroleh bekalan gol selesa di gelanggang sendiri sebelum mengintai slot final,” katanya lagi.