Perlawanan ke atas Laos pada Selasa bakal menjadi penentu matlamat skuad kebangsaan bawah 16 tahun negara di Kejuaraan Bolasepak AFF B16 di Indonesia.
Sasaran untuk ke peringkat separuh akhir bakal diputuskan sebelum jam 6.00 petang esok waktu Malaysia selepas tamat perlawanan terakhir peringkat kumpulan B diantara Malaysia dan Laos.
Dua keputusan positif yang diraih skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib jelas memberi momentum positif dikalangan pemain pemain dan pengurusan, malah optimis ia akan diteruskan petang esok.
Skuad kendalian Kamlaya Sysomvang seakan akan memasang taktikal untuk memberi tekanan ke atas Harimau Muda negara selepas melakar keputusan seri ke atas pendahulu kumpulan, Thailand.
“Saya rasa Laos bermain untuk seri dengan Thailand. Kini menjadi tanggungjawab pemain pemain untuk teruskan pencapaian dan kemenangan untuk layak ke separuh akhir.
“Tiada tekanan tetapi ini adalah tanggungjawab pemain untuk laksanakan halatuju kami disini,”kata Raja Azlan.
Tambah Raja Azlan lagi, semangat pemain pemain begitu baik dan kesemua pemain disetiap posisi cemerlang sepanjang perlawanan menentang Singapura semalam.
“Game malam ini (Ahad) kami bermain dengan yakin dan semangat dan berjaya menjaringkan dua gol diseparuh masa pertama dan dua lagi di separuh masa kedua,”kata Raja lagi.
Dalam pada itu, keputusan samada bakal menurunkan Muhd Amirul Ashrafi Hanafiah hanya akan diputuskan esok.
“Amirul belum diturunkan kerana beliau masih belum bersedia untuk bermain. Kita akan tengok perkembangannya di perlawanan berikutnya,”kata Raja Azlan lagi.
Di atas kertas, Malaysia tidak boleh seri ke atas Laos kerana selepas bermain tiga perlawanan, skuad kendalian Kamlaya Sysomvang mengumpul tujuh mata, satu mata didepan Malaysia yang berada di tangga ketiga.
Laos tampak mempunyai pertahanan yang kental dan mampu menyerap asakan pemain pemain Thailand sekaligus meraih satu mata.
Laos tampak mahu memburu final keempat selepas tiga kali muncul naib juara pada 2002, 2007 dan 2011.
Edisi 2017, Laos gagal melangkah ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di kelompok dua terbaik.
Kali terakhir kedua dua pasukan ini bertemu pada saingan terakhir peringkat kumpulan tahun 2015 di Kemboja dimana Laos menewaskan Malaysia 2-0.