Sebanyak 8 pasukan bakal menghangatkan saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 1 2025.

Johor Darul Ta’zim (JDT) turun dengan status penyandang juara selepas merekodkan 13 kemenangan dan hanya tewas sekali untuk mengumpul 39 mata dalam saingan format liga dua pusingan (home dan away) pada musim lalu.

Malah, JDT juga bakal tampil selaku juara berganda selepas kejayaan menjuarai Malaysia Futsal Cup (MFC) 2024 hasil persembahan cemerlang menewaskan Selangor FC 3-2 pada aksi final di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selain JDT, Selangor yang juga naib juara MPFL 2024 dan pemenang tempat ketiga, Pahang Rangers telah mengesahkan penyertaan bagi saingan musim 2025.

Lima lagi pasukan yang telah mengesahkan penyertaan ialah TOT United FC, Sabah FA, KL City FC selain kehadiran dua pendatang baharu – Kedah dan Malaysian University FT bagi melengkapkan senarai 8 pasukan.

Kedah tampil dengan reputasi selaku naib juara edisi sulung MPFL Divisyen 2 musim lalu, manakala Malaysian University FT mengakhiri cabaran di tangga keempat.

Saingan MPFL Divisyen 1 2025 dijadualkan membuka tirai pada 8 Mac dan bakal berlangsung sehingga 13 Julai 2025. – www.fam.org.my

- Advertisement -