Oleh Muhammad Aiman
Lapan pesilat negara akan berentap dalam aksi final Kejohanan Silat Asia Tenggara 2017 yang akan berlangsung pada Sabtu, di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin.
Juara dunia tiga kali, Mohd Al Jufferi Jamari mengetuai senarai apabila mara ke final untuk menentukan kejuaraan dengan berdepan Poomisak Ngankoh dari Thailand.
Pesilat muda, Muhd Zarish Hakim Shukor pula berpeluang membalas dendam kekalahan di Kejuaraan Silat Dunia tahun lalu apabila menentang musuh ketatnya dari Indonesia, Hanifan Yudani Kusumah.
Muhammad Rabial Sobri mara ke final Putra H untuk bertemu Sheikh Ferdous Sheikh Alaudin dari Singapura manakala Muhammad Amirul Basarudin akan berentap dengan Pham Van Tien (Vietnam) untuk kejuaraan Putra B.
Turut mara ke akhir ialah Fauzi Khalid, Mastafa Fitri Masjuri, Siti Zubaidah Che Omar dan Siti Humairah Kasidin.
Fauzi yang merupakan bekas juara dunia mengesahkan slot di final Putra F setelah menewaskan Raymund Bueno dari Filipina dengan keputusan 5-0.
Fauzi yang merupakan pemenang pingat emas di Sukan Sea sebanyak dua kali akan bertemu pesilat Singapura, Abdul Raaziq Abdul Rashid di final.
Mastafa pula menundukkan Hamillatu Arash Juffri 5-0 di separuh akhir dan akan berdepan dengan pesilat Vietnam, Nguyen Thanh Tri untuk merebut gelaran Putra A.
Siti Zubaidah yang merupakan atlet di bawah program Kita Juara menewaskan Rewasee Damsri dari Thailand 3-2 dan menempah pertemuan menentang Nurul Suhaila Mohd Saiful dari Singapura dalam aksi final Putri D.
Manakala Siti Humairah pula mara ke final Putri D setelah menundukkan seorang lagi pesilat Thailand, Suda Lualueangapichakun dengan keputusan 5-0.
Setakat ini Malaysia sudah meraih tiga pingat emas menerusi kategori Silat Seni – Ganda Lelaki, Tunggal Lelaki dan Ganda Wanita.
Kejohanan edisi ketujuh ini adalah pemanas badan menjelang Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan berlangsung membabitkan penyertaan tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, Vietnam, Indonesia, Filipina, dan Thailand.