Penyerang Kuching FA, Joseph Kalang Tie menganggap kejayaan layak ke TM Piala Malaysia musim ini sesuatu yang cukup membanggakan meskipun sebelum ini sudah merasa saat itu ketika bersama pasukan yang lebih gah.
Bekas pemain kebangsaan ini pernah menempa nama ketika bersama pasukan elit seperti Terengganu (2016) , Pahang (2017) dan Selangor (2018) sebelum membuat keputusan untuk beraksi bersama Kuching FA musim lalu dalam saingan Liga M3 sehingga layak ke Liga Premier musim ini.
Justeru, dia melihat pencapaian yang telah diraih bersama Kuching FA sehingga kini cukup memberi kelainan kepada dirinya kerana bukan mudah untuk merebut slot ke TM Piala Malaysia selaku pendatang baharu dalam Liga Premier 2020.
Tidak dinafikan, aksi bersama pasukan seperti Selangor dan Pahang sehingga layak ke saingan Piala Malaysia sebelum ini sememangnya memberi pengalaman berharga buat dirinya dan bertekad untuk mencipta pengalaman lebih bermakna bersama Kuching FA pula.
“Memang ikutkan pasukan kami cukup bertuah dan satu rezeki apabila layak ke TM Piala Malaysia kerana sasaran awal adalah untuk kekal dalam saingan Liga Premier sahaja.
“Saya tidak nafikan pengalaman bersama pasukan lebih hebat seperti Pahang dan Selangor sehingga kami layak dalam Piala Malaysia memang bermakna, dan kali ini, apabila saya layak bersama pasukan baharu seperti Kuching FA, itu yang buat saya rasa lebih bangga.
“Jika tengok daripada awal musim, Kuching FA begitu bergelut dengan kekalahan demi kekalahan sebelum akhirnya kami bangkit untuk raih kemenangan dalam empat perlawanan terakhir, jadi ini membuktikan sikap tidak putus asa satu pasukan menjadikan ia sesuatu yang manis untuk dikenang.
“Apa-apa pun, sebagai pasukan bukan pilihan, kami ingin fokus satu-satu perlawanan dahulu dan cukup beruntung jika berjaya mara lebih jauh dalam saingan ini”, jelasnya.
Selain Kuching FA, Kelantan United juga tidak terlepas berjaya meraih slot ke TM Piala Malaysia buat kali pertama.
Pengendali baharu mereka, Nazrulerwan Makmor meletakkan sasaran awal untuk mara ke suku akhir terlebih dahulu memandangan perlawanan pusingan pertama TM Piala Malaysia adalah kalah mati di mana apa-apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan tersebut.
Paling utama, beliau berazam ingin membawa kembali memori indah penyokong Kelantan suatu ketika dahulu bersama skuad Kelantan United pula meskipun hadir selaku pasukan baharu.
“Apabila saya diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan ini, saya tahu ia akan menjadi tugas mencabar dan tanggungjawab besar sebab ini adalah pasukan yang mempunyai penyokong yang hebat dan fanatik dalam negeri Kelantan.
“Jadi, apabila Kelantan United layak ke TM Piala Malaysia buat kali pertama, saya rasa ini adalah peluang yang tidak boleh disia-siakan, dan kami perlu berusaha keras untuk cuba layak ke suku akhir terlebih dahulu.
“Dalam tempoh lebih kurang tiga minggu ini, saya akan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin khususnya memperkemaskan lagi posisi di bahagian tengah dan serangan”, katanya.
Kelantan United mengakhiri saingan Liga Premier 2020 di tempat ke 8 manakala Kuching FA setakat ini di kedudukan ke 6 dan masih mempunyai satu lagi perlawanan menentang Kuala Lumpur pada 31 Oktober ini.