Oleh Muhammad Aiman
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan yakin kentijen negara akan menuai lebih banyak kilauan pingat di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro, sebagai susulan kepada kejayaan gandingan Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong memecahkan kebuntuan pingat dengan menghadiahkan perak dari sukan terjun. .
Saravanan yang melawat perkampungan sukan di Rio berkata, “Kita masih ada peluang meraih tambahan pingat dalam acara terjun, badminton dan berbasikal. Kejayaan Pandalela dan Jun Hoong pastinya menyemarakkan semangat atlet lain dan memberi motivasi kepada semua atlet lain yang belum turun beraksi.
“Memang sandaran utama kita pada Dato’ Lee (Chong Wei), tetapi saya melihat berdasarkan prestasi semasa badminton boleh menyumbang dua pingat, satu lagi menerusi beregu. Manakala atlet-atlet terjun akan turun dalam acara individu pula selepas ini, Pandalela dan Jun Hoong mempunyai peluang menambah koleksi pingat dalam acara masing-masing.”
Pada Rabu, Pandalela dan Jun Hoong melakar sejarah buat Malaysia apabila menghadiahkan pingat perak pertama negara dari luar sukan badminton dan yang kedua dari sukan terjun setelah berganding cemerlang dalam acara 10m platform seirama.
Meskipun kagum dengan pencapaian bersejarah dua atlet itu, Saravanan tidak menyembunyikan rasa kecewanya dengan prestasi ditunjukkan pasukan memanah terdiri daripada trio Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamarudin dan Akmal Nor Hasrin yang tampil dengan aksi longlai dan pulang ke tanah air tanpa sebarang pencapaian untuk dibanggakan.
Pasukan memanah negara menamatkan pusingan penentuan ranking di kedudukan terbawah dari 12 pasukan, seterusnya tunduk kepada Perancis seawal pusingan pertama.
Manakala bagi saingan acara individu, Haziq dan Akmal tersingkir di pusingan pertama sementara Khairul Anuar pula tersingkir di pusingan kedua.
Mengenai kunjungannya ke Rio, Saravanan berkata kehadirannya bukan sahaja untuk memberi sokongan kepada atlet-atlet negara yang mengambil bahagian, tetapi turut meninjau kemudahan yang disediakan negara tuan rumah di dalam menganjurkan temasya sukan terbesar dunia itu.
“Walaupun menghadapi krisis ekonomi, Brazil melakukan yang terbaik untuk menganjurkan olimpik. Kemudahan seperti pengangkutan adalah sangat bagus. Mereka menyediakan laluan untuk bas dan kereta bagi membawa atlet dan pegawai ke venue pertandingan dan balik ke perkampungan sukan.
“Kemudahan seperti itu dan lain-lain perkara penting akan kita beri perhatian dan dibincangkan dalam kalangan pegawai kementerian sempena Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan Sea tahun depan.,” ujar Saravanan.