Tidak mengenal erti rehat dan putus asa, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia 2018 di Wuhan, China.

Pertemuan kelima dengan jaguh dari India, K Srikanth, Chong Wei nyata tidak memberi laluan mudah kepada lawannya untuk mendominasi saingan suku akhir.

Pemain berusia 35 tahun ini tidak mahu berada di gelanggang terlalu lama sekaligus menutup saingan dengan kemenangan straight set 21-12, 21-15 dalam masa 31 minit untuk mengesahkan slot ke separuh akhir esok.

Chong Wei yang menduduki ranking ketujuh dunia akan berdepan pemain Jepun, Kento Momota yang menang ke atas pilihan ketujuh, Chou Tien Chen dari Taiwan 21-5, 21-13.

Satu lagi wakil negara yang berjuang di suku akhir, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal mengikut jejak Chong Wei selepas tewas kepada pilihan ketiga, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun.

Diletak selaku pilihan kelapan, V Shem dan Wee Kiong hanya mampu bertahan selama 41 minit sebelum kecundang straight set 18-21, 17-21.

 

 

- Advertisement -