Pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menunjukkan kebangkitan menakjubkan apabila melangkah ke peringkat separuh akhir All England semalam.
Lebih manis, kejayaan mara ke separuh akhir dikejohanan yang berlangsung di Birmingham itu selepas menewaskan pilihan pertama kejohanan, Kento Momota.
Permainan yang cukup meyakinkan dipamerkan Lee Zii Jia sekaligus melakar kemenangan straight set 21-16, 21-19 dalam masa 55 minit
“Ini adalah detik paling bermakna dalam karier saya dimana ini adalah kemenangan pertama saya kerana tidak pernah menang dalam enam pertemuan.
“Saya cuba berikan yang terbaik kerana saya tahu bukan mudah untuk bermain dengan dia (Momota) dan perlu fokus dalam setiap pukulan sepanjang masa,”kata Lee Zii Jia.
Pilihan keenam ini akan turun berdepan wakil Belanda Mark Caljouw di pusingan separuh akhir hari ini.
“Saya pernah bertemu dengan dia dua tahun lalu di Terbuka Jerman dan dia (Mark Caljouw) adalah lawan yang hebat dan kami berdua juga telah harungi perlawanan yang sengit hari ini,”kata Zii Jia lagi.
Turut mengikuti jejak Zii Jia adalah pasangan bergu campuran profesioal negara, Chan Peng Soon – Goh Liu Ying yang menundukkan pilihan ketujuh dari Perancis, Thom Gicquel – Delphine Delrue
Peng Soon – Liu Ying turun dengan status pilihan ketiga bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk menang baki dua set berikutnya 17-21, 21-18, 22-20 sekaligus mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir.
“Kami bermain dengan baik hari ini dan mereka adalah lawan yang baik. Set ketiga agak sengit kerana jarak mata yang sangat rapat dan ini adalah pertemuan keempat kami dengan mereka,”kata Peng Soon.
Peringkat separuh akhir hari ini, Chan Peng Soon – Goh Liu Ying akan berdepan bergu dari Jepun, Yuki Kaneko – Misaki Matsumoto.
Nasib berbeza buat satu lagi bergu campuran negara, Tan Kian Meng – Lai Pei Jing yang tumpas di tangan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe – Arisa Higashino
21-17, 21-9
Dalam pada itu, perjuangan bergu muda wanita negara, Pearly Tan – M Thinaah juga terhenti di suku akhir selepas tewas kepada pilihan kelima dari Jepun, Nami Matsuyama – Chiharu Shida dalam aksi tiga set.
Tewas 12-21, di set pertama, Pearly dan Thinaah yang juga juara Terbuka Switzerland bangkit untuk menang di set kedua 22-20 namun Matsuyama – Shida memastikan separuh akhir menjadi milik mereka apabila menang 21-16 di set ketiga.
“Kami melakukan kesilapan mudah dan kecewa kerana memberikan mereka mata mudah. Kelajuan pukulan mereka lebih pantas dan agresif itu yang menyukarkan kami tetapi kami ambil ia sebagai perkara positif dan akan berlatih dengan lebih gigh lagi,”kata M Thinaah.