Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia tekad untuk bangkit dengan pencapaian yang lebih baik di dua kejohanan di Eropah yang akan bermula hari ini.
Zii Jia akan memulakan saingan kejohanan ke empatnya di Terbuka Switzerland yang dijadual berlangsung hari ini dimana beliau akan menentang pemain dari Rusia, Sergey Sirant.
Beliau kemudiannya akan terbang ke Birmingham untuk menyertai All England yang dijadual bermula dari 17 Mac.
Lee Zii Jia bagaimanapun enggan memberikan tekanan ke atas diri sendiri susulan aksi hambarnya di Bangkok, Thailand pada awal tahun ini.
Namun Zii Jia akan memastikan keputusan yang terhasil do kejohanan berstatus Super 300 itu adalah yang terbaik dan fokus utamanya adalah tampil dengan permainan yang lebih kemas.
Meskipun pergi ke Eropah tanpa kelibat Datuk Tey Seu Bock, Zii Jia yakin Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong CHoong Hann mampu membimbingnya sepanjang kejohanan di Eropah.
“Memang saya rasa kena ada keputusan yang baik di Eropah tetapi pada masa sama saya juga tidak mahu memberi tekanan berlebihan kepada diri sendiri. Saya akan berusaha sebaiknya dan yang penting sekarang saya sedang mencari kesesuaian corak permainan, itu paling penting.
“Kita tidak boleh buat apa (ketiadaan Seu Bock) kerana ia pada saat-saat akhir, di sana juga masih ada jurulatih Choong Hann dan kita sudah berbincang banyak perkara. Saya rasa tiada masalah bersama jurulatih Choong Hann di sana,”kata Zii JiaÂ
Tambahnya lagi, Terbuka Switzerland perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk memburu sebanyak mungkin mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik di Tokyo yang akan berlangsung pada Julai memandangkan ketiadaan pemain pemain ternama.
Permulaan kalendar 2021 buat Zii Jia tidak begitu baik apabila tewas dalam saingan suku akhir dan tersingkir seawal pusingan pertama masing-masing pada Terbuka Yonex Thailand dan Terbuka Toyota Thailand, disusuli tewas kesemua tiga aksi pada Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).