Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia meletakkan sasaran untuk melakar kejutan di saingan Perodua Malaysia Masters 2020 yang dijadual bermula dari 7 Januari depan.

Lee Zii Jia akan berdepan pemain pilihan ketiga dari Denmark, Anders Antonsen di pusingan pertama dimana ia merupakan pertemuan ketiga kedua-dua pemain selepas dua kali bertemu tahun lalu.

“Saya jumpa dia dua kali dan tewas kesemua perlawanan. Kali ini, bermain di Malaysia saya berharap dapat memanfaatkan peluang ini untuk melakar kejutan,”kata Zii Jia.

Tambahnya lagi, beliau tidak mahu terlalu menekan diri sendiri dan hanya memberi fokus terhadap satu perlawanan demi satu perlawanan.

Jika berjaya mengatasi Antonsen, Zee Jia akan berdepan pemenang diantara Samer Verma dari India atau Kantaphon Wangcharoen dari Thailand di pusingan kedua.

Bagi pemain berusia 21 tahun ini, bukan sahaja dirinya, mana mana pemain negara yang beraksi di Perodua Malaysia Masters pastinya mahu menaiki podium selaku juara.

“Setiap pemain sudah tentu mahu gelaran juara apatah lagi bermain di laman sendiri. Bagi saya, tidak mahu terlalu tertekan dan fokus kepada setiap perlawanan yang diharungi,” katanya lagi.

Edisi 2019, Lee Zii Jia mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum kecundang kepada pilihan kelima dari Denmark, Viktor Axelsen.

Malaysia Masters 2020 dijadual berlangsung dari 7 hingga 12 Januari merupakan kejohanan berstatus Super 500 oleh Pesekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US 400 000.

- Advertisement -