Bekas ketua jurulatih Sarawak, Pengiran Bala menafikan bahawa dia didesak untuk melepaskan jawatan itu bagi membolehkan ianya digalas oleh Pengarah Teknikal pasukan, Ian Andrew Gillan, bermula bulan lalu.

Sebaliknya dia menjelaskan ia adalah keputusan yang dibuat secara sukarela malah dia sendiri yang mencadangkan pelantikan Gillan dengan mengambil kira pengalamannya yang pernah membimbing kelab Australia, Perth Glory FC.

“Sarawak perlu bangkit semula selepas beberapa tahun mengharungi musim yang suram dan untuk itu sentuhan jurulatih berpengalaman sangat diperlukan. Saya memberitahu kepada Presiden FAS (Persatuan Bolasepak Sarawak), Datuk Posa Majais agar memanfaatkan sepenuhnya kehadiran Gillan, dan ia dipersetujui.

“Keputusan ini demi masa depan Sarawak, dibuat dengan rela hati dan saya serta semua rakan kejurulatihan percaya ini satu keputusan yang baik untuk bolasepak negeri ini kembali bersinar,” kata Pengiran Bala yang kembali menggalas tanggungjawab sebagai penolong jurulatih.

Pengiran Bala yang memegang rekod jaringan terpantas dalam Liga Malaysia – menjaringkan gol seawal tujuh saat ketika Sarawak menewaskan Pahang pada 1989 dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih skuad bujang senang pada Julai lalu, menggantikan Davip Usop yang meletak jawatan.

Dia yang memiliki lesen kejurulatihan A bagaimanapun gagal menyelamatkan Sarawak dari tersingkir ke 100PLUS Liga Premier selepas sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada aksi terakhir Liga Super menentang T-Team.

Selain Pengiran Bala, turut bertindak selaku penolong jurulatih Ngap Sayot tahun depan adalah seorang lagi bekas pemain negeri, Safri Amit sementara Abdul Wahet Uji kekal sebagai Pengarah Kejurulatih FAS.

David Usop dan Azli Abdullah pula akan memainkan peranan mengendalikan skuad belia Sarawak, dengan tanggungjawab utama mengetengahkan pemain-pemain muda berpotensi untuk menyarung jersi pasukan senior dalam masa beberapa tahun akan datang. OLEH MUHD AIMAN

 

- Advertisement -