Oleh Muhammad Aiman
Chef-De-Mission kontijen negara ke Sukan Olimpik Rio De Janeiro, Tan Sri Mohd Al-Amin Abdul Majid tidak mahu terburu-buru dalam meletak sebarang sasaran pingat mahupun pencapaian di temasya itu yang akan berlangsung Ogos depan.
Sebelum ini, Al-Amin pernah menegaskan bahawa selain Dato’ Lee Chong Wei yang dilihat sebagai prospek utama untuk menyumbang pingat, pasangan beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying serta beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong turut berpeluang membawa pulang pingat dari temasya sukan terbesar dunia itu.
Namun begitu, Al-Amin berkata banyak faktor perlu dinilai dan diambil kira sebelum satu sasaran yang realistik dapat diletakkan memandangkan ia akan turut memberi tekanan dan mempengaruhi prestasi atlet yang membawa cabaran di Rio nanti.
“Kita kena tengok setakat mana kemampuan atlet kita dan apa pencapaian terbaik kita boleh harapkan dari mereka. Saya perlu meneliti laporan pengurus dan jurulatih, kita kena sedar bukan semua atlet yang layak ini adalah prospek pingat. Kita tidak mahu letak sasaran kemudian atlet tertekan untuk memenuhi sasaran itu,” ujarnya.
Al-Amin ketika ini sedang giat meninjau dan mendapatkan laporan terkini persiapan atlet olimpik negara dari jurulatih masing-masing – Hendrawan, Jeremy Gan (badminton) dan Paul Birmingham (renang) adalah antara yang terawal ditemuinya.
Untuk rekod, setakat ini 26 atlet sudahpun mengesahkan tiket ke Olimpik Rio merangkumi sembilan acara sukan.
Mereka adalah Pandalela, Nur Shabitah Sabri, Wendy Ng, Cheong Jun Hoong, Ooi Tze Liang dan Amsyar Azman (terjun), Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa (berbasikal), Welson Sim dan Heidi Gan (renang), Hafifi Mansor (angkat berat), Khairul Anuar Mohd, Haziq Kamarudin, Nor Hasrin Akmal (memanah), Nauraj Singh Randhawa (olahraga), Johnathan Wong (menembak) serta Khairunizam Efendy dan Nur Shazrin dari sukan pelayaran.
Mereka akan disertai pembawa jalur gemilang Chong Wei, V Shem/Wee Keong, Peng Soon/Liu Ying, Tee Jing Yi dan Woon Khe Wei/Vivian Hoo dari sukan badminton
Pada temasya yang berlangsung di London empat tahun lalu, Malaysia menghantar seramai 30 atlet dan meraih satu pingat perak menerusi Chong Wei – pingat perak kedua buatnya di olimpik – serta satu gangsa menerusi Pandalela, penyumbang pingat pertama dari luar sukan badminton.