Oleh Muhammad Aiman
Felda United memulakan kempen Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 dengan langkah kanan apabila membelasah KL TPD FC 10-2 dalam aksi pembukaan di Arena UPSI, Tanjung Malim seterusnya melonjak ke kedudukan pendahulu.
Felda bimbingan bekas pemain kebangsaan Addie Azwan Zainal mendahului carta liga menerusi beza jaringan ke atas KL Petaling Putra FC dan Melaka yang melakar kemenangan 5-2 ke atas lawan masing-masing; T-Team dan MBPP.
Addie Azwan berkata, “Pemain-pemain telah mempamerkan aksi yang diharapkan untuk meraih kemenangan. Alhamdulillah saya bersyukur kerana semuanya berjalan seperti yang kita telah rancang pada perlawanan hari ini.Â
“Para pemain telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan telah menunjukkan kesungguhan untuk menang,” katanya selepas Felda menguasai perlawanan tanpa sebarang masalah.
Terdahulu, skuad wanita Felda kendalian Rozmin Musa yang membuka tirai saingan sebelah pagi dengan kemenangan bergaya 14-0 ke atas ATM untuk berada di tangga teratas. Mereka berkelebihan dua mata mengatasi Sarawak dan PDRM yang terpaksa berpuas hati berkongsi mata setelah terikat 3-3.