Oleh Muhammad Aiman
Atlet boling wanita negara, Sin Li Jane tampil berada pada kelas tersendiri untuk melakar sensasi di Munich, apabila mengaibkan tiga atlet lelaki terkemuka Eropah dalam laluan merangkul kejuaraan kedua berturut-turut dalam tempoh seminggu di Jelajah Boling Eropah (EBT), dengan memenangi Terbuka Dream-Bowl Palace.
Li Jane menyerlahkan prestasi terbaiknya untuk menewaskan antara pemain terbaik England, Dominic Barrett 223-160 pada perlawanan akhir, sekaligus membalas dendam kekalahan kepada pemain itu di Terbuka San Marino pada 17 Julai lalu.
Selain Barrret, atlet kelahiran Perak itu turut menewaskan pemain yang pernah empat kali berada di ranking nombor satu EBT, Gary Verbruggen dari Belgium dan pemain terbaik tahunan Persatuan Boling Profesional bagi tahun 2005-2006, Tommy Jones.
Li Jane yang menjuarai Terbuka Masters Wanita pada Isnin lalu (juga di San Marino) berada di kemuncak prestasinya dan langsung tidak melepaskan kedudukannya di tempat teratas di pusingan 16 terbaik dan juga separuh akhir.
Kemenangan ini adalah yang ketiga buat Li Jane bagi tahun 2016, setelah turut menjulang gelaran Terbuka Malaysia pada April, sekaligus membawa pulang hadiah wang kemenangan berjumlah €5,000 (RM22,354).
“Saya cukup teruja dengan dua kejuaraan berturut-turut ini, terima kasih Munich dan San Marino. Sudah tentunya ia pencapaian paling terbaik dalam karier saya. Saya sentiasa yakin dengan kebolehan diri saya, dan percaya perkara yang baik akan berlaku sekiranya kita sentiasa bekerja keras, kekal positif dan percaya pada diri,” kata atlet berusia 24 tahun itu.
Terdahulu, lima lagi atlet Malaysia yang lain gagal mara ke peringkat 16 terbaik iaitu Zulmazran Zulkifli di tempat ke-22, diikuti Adrian Ang (23), Syafiq Ridhwan (24), Alex Liew (25) dan Timmy Tan (45) manakala Ahmad Muaz Fishol pula kandas di peringkat 16 terbaik.