Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying dan peraih pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, menerima suntikan semangat tepat pada masanya sebelum keberangkatan ke Eropah minggu ini selepas kontrak tajaan mereka bersama Li-Ning Malaysia dilanjutkan selama dua tahun.
Turut dilanjutkan kontrak untuk tempoh yang sama ialah jurulatih Chin Ee Hui, yang dipertanggungjawabkan untuk membimbing pemain profesional.
Mereka bakal menghadapi saingan tiga pusingan Jelajah Dunia secara berturut-turut iaitu Terbuka Jerman Super 300 (Mac 8-13), Seluruh England Super 1000 (Mac 16-20) dan Terbuka Swiss Super 300 (Mac 22-27).
Liu Ying, 32, terus mendapat kepercayaan Sunlight Sports Group (pengedar tunggal jenama Li-Ning di Asia Tenggara), sekalipun tidak lagi berganding bersama Chan Peng Soon, pasangannya selama 13 tahun, yang memutuskan untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ramai beranggapan bahawa Liu Ying sudah singgah ke penghujung kerjayanya dan akan menggantung raket. Namun, Liu Ying jelas merasakan diri masih mampu beraksi di peringkat tertinggi dan menyumbang kepada negara.
Seperti yang diumumkan sebelum ini, Liu Ying telah memilih Yew Sin, 27, selaku gandingan baharunya bagi mengharungi perjalanan kariernya selepas ini.
Meskipun harus bermula dari sifar, usah terkejut jika Liu Ying dan Yew Sin memasang impian besar untuk layak ke Olimpik Paris 2024.
Mereka berdua pastinya akan berusaha ke arah itu memandangkan masing-masing ada matlamat tersendiri.
Bagi Liu Ying, dia berpotensi untuk beraksi di Olimpik buat empat edisi berturut-turut, sekali gus menyamai rekod bekas jaguh negara Datuk Lee Chong Wei selaku pemain badminton Malaysia dengan penampilan terbanyak di temasya sukan terbesar dunia itu.
Menerusi penampilannya di London 2012, Rio 2016 and Tokyo 2020, Liu Ying sudahpun menjadi pemain badminton wanita dari Malaysia dengan penampilan terbanyak di Olimpik.
“Sudah tentu saya ingin dan akan cuba sedaya upaya untuk layak ke temasya Paris. Namun, segalanya bergantung kepada kondisi saya pada masa akan datang,” kata Liu Ying.
“Saya amat berterima kasih kepada Li-Ning di atas kesudian mereka untuk terus menyokong karier profesional saya. Sejak saya menjadi pemain bebas, Li-Ning merupakan tulang belakang di sebalik kejayaan yang saya kecapi.
“Saya akan terus buat yang terbaik untuk membalas kepercayaan mereka.”
Yew Sin menyahut cabaran baharu beraksi dalam acara bergu lelaki dan campuran dan tidak menolak kemungkinan meletakkan cita-cita tinggi untuk merebut slot ke Paris 2024 dalam kedua-dua disiplin itu.
Setakat ini, tiada pemain badminton negara yang pernah layak dalam dua acara pada sesuatu temasya.
Sebagai rekod, Yew Sin dan pasangan akrabnya Teo Ee Yi masih lagi memburu penampilan pertama Olimpik mereka.
“Kalau saya dapat memberi persembahan yang bagus dan meraih keputusan memberangsangkan dalam dua acara, semestinya menjadi harapan saya untuk cuba raih dua tiket ke Paris,” kata Yew Sin.
“Namun, gandingan saya dengan Liu Ying masih berada di peringkat awalan. Keutamaan saya masih pada acara beregu lelaki bersama Ee Yi.”
Ee Yi melahirkan penghargaannya kepada Li-Ning dan berazam untuk terus mengharumkan nama jenama itu dengan membawa pulang pingat dari Olimpik Paris.
Yew Sin-Ee Yi tetap membuktikan keupayaan mereka selepas digugurkan daripada skuad kebangsaan pada awal 2020 dengan beberapa kejayaan membanggakan terutamanya menaiki podium di Huelva Disember lalu dan menduduki ranking ke-11 dunia.
“Terima kasih yang tidak terhingga buat Li-Ning. Di saat karier kami terumbang-ambing selepas meninggalkan BAM, Li-Ning lah yang tampil untuk membantu saya dan Yew Sin,” kata Ee Yi.
“Dengan tajaan peralatan dan kewangan untuk membolehkan kami bertanding di peringkat antarabangsa, kami berjaya membawa karier ke tahap lebih tinggi sehingga memenangi pingat di Kejohanan Dunia.
“Mudah-mudahan dengan lanjutan kontrak ini, kami akan cuba membalas jasa Li-Ning dengan layak ke Olimpik dan meraih pingat di Paris pula selepas ini.”
Pengurus jenama Li-Ning Malaysia, Teah Yann Ling berkata: “Kami tidak dapat fikir sebarang alasan untuk tidak terus menyokong Liu Ying, Yew Sin dan Ee Yi.
“Kami amat menghargai kegigihan dan ketabahan mereka dalam misi mereka untuk terus membanggakan nama negara selaku pemain profesional.
“Kami juga berbesar hati untuk ketiga-tiga bintang badminton terus mewakili jenama kami di arena badminton antarabangsa.”